fbpx
Pembubaran DUN wajar dilakukan bagi memberi laluan kepada proses pengundian secara serentak dengan Parlimen pada PRU-15 kelak. – Gambar hiasan

Rakyat mahu kerajaan stabil, bukan konflik politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pilihan Raya Umum (PRU) lebih baik diadakan serentak antara kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Ne­geri (DUN) kerana dapat menjimatkan kos, masa dan tenaga.

Profesor Politik dan Hubu­ngan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, pilihan raya yang dibuat secara berasingan akan mengakibatkan lebih banyak wang akan dibelanjakan.

Mohd. Azizuddin

“Lebih baik dibuat serentak supaya semua rakyat yang layak mengundi dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Mereka bukan selalu boleh balik mengundi jika PRU atau Pili­han Raya Negeri (PRN) diadakan berasingan. Rakyat yang duduk jauh bukan mudah hendak dapat cuti. Banyak kekangan akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai keengganan beberapa buah ne­geri untuk membubarkan DUN selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen kelmarin.

Ismail Sabri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya membubarkan DUN masing-masing.

Bagaimanapun, Mohd. Azizuddin mengakui ia terserah kepada kerajaan negeri masing-masing kerana undang-undang Perlembagaan tidak mewajibkan pilihan raya kawasan Parlimen dan DUN dijalankan serentak.

Tambahnya, setiap negeri mempunyai hak untuk bubar DUN atau tidak dan menentukan bila masa hendak buat PRN mengikut tempoh penggal semasa.

“Namun apa yang dikhua­tirkan ialah ia berpotensi untuk menjadi trend pada penggal seterusnya iaitu pengundian tidak lagi dilakukan serentak untuk Parlimen dan DUN. Ini sudah tentu memberi cabaran besar buat Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Bagi penganalisis politik UUM, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman pula, kerajaan negeri perlu berjiwa besar memandangkan tempoh matang DUN masing-masing juga akan tamat pada pertengahan tahun depan.

Muhammad Fuad

“Walaupun ia menjadi prerogatif untuk mereka bubar atau tidak, pastinya ia akan membantu semua petugas dan agensi yang terlibat sekiranya dibuat sekali gus,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Fuad mencadangkan agar PRU-15 dilaksanakan pada minggu pertama November supaya semua pihak dapat memberi tum­puan pula kepada bencana banjir selepas itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN