fbpx

PRU-15: MB belum dapat tarikh menghadap Pemangku Raja Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy (enam dari kiri) hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Jentera (Traktor) di pekarangan DUN Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan pihaknya belum mempunyai tarikh untuk menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Wan Rosdy berkata, pihaknya masih dalam proses untuk menanti tarikh tertentu bagi menghadap Tengku Hassanal untuk membubarkan DUN negeri ini susulan pembubaran Parlimen semalam.

Katanya lagi, berikutan itu beliau yang merupakan Badan Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang enggan mengulas lanjut tentang calon yang akan diketengahkan parti berkenaan bagi menduduki kerusi di Parlimen dan DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Calon nanti dulu, kita belum ‘final’ lagi. Manifesto kita boleh anggap Bajet (Bajet Pahang 2023) itu sebagai manifesto.

“Kita belum mendapat perkenan untuk menghadap (Tengku Hassanal) lagi. Mana boleh saya mendahului Tuanku,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahaan Jentera (Traktor) kepada Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Muhd. Rizal Baharom di pekarangan DUN Sri Wisma Pahang, di sini, hari ini.

Sementara itu, terdapat 42 jumlah kerusi DUN Pahang dan pada pilihan raya umum lalu, 25 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN), sembilan oleh Pakatan Harapan dan lapan oleh PAS.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan memberitahu kesemua DUN di bawah pentadbiran BN dibubarkan susulan pembubaran Parlimen semalam bagi memberi laluan kepada PRU-15.

DUN terlibat ialah di Perak, Perlis dan Pahang, namun Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak tidak dibubarkan kerana baru sahaja mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas PRU-14.

Katanya, langkah itu kerana BN prihatin dengan keadaan semasa dan tidak mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibebankan dengan perbelanjaan yang tinggi jika PRN diadakan secara berasingan.

“Maka kami mengambil keputusan negeri-negeri yang berada di bawah BN tidak mengadakan PRN berasingan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI