fbpx

Bubar Parlimen untuk elak ketidakharmonian dalam kerajaan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri.

PUTRAJAYA – Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen ke-14 semalam adalah salah-satunya bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Ia susulan daripada tindakan tidak wajar 12 Menteri yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

Ismail Sabri berkata, seperti yang telah beliau jelaskan dalam Perutusan Khas semalam, pembubaran Parlimen Ke-14 adalah untuk menoktahkan suara- suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

“Tindakan Menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

“Bahkan sejak akhir-akhir ini, ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan oleh Istana Negara semalam yang menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.

Menurut beliau, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.

“Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

“Kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Ujar beliau lagi, negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI