KUDAT – Kebakaran membabitkan 43 buah rumah di Kampung Tanjung Kapur awal pagi tadi mengakibatkan lebih 200 penghuni hilang tempat tinggal.
Bagaimanapun, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.20 pagi itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Difahamkan, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah di kawasan terbabit sebelum merebak ke rumah lain.
Kebanyakan penghuni juga dikatakan sedang tidur dan gagal menyelamatkan harta benda masing-masing sehingga mengakibatkan sebahagian besar penghuni tinggal sehelai sepinggang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.28 pagi.
“Seramai 21 anggota termasuk pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dan Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kebakaran.
“Kebakaran melibatkan 43 rumah jenis tidak kekal dengan keluasan 202 meter persegi terbakar sepenuhnya. Tiada kecederaan dan kematian mangsa dilaporkan dalam kebakaran ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba. – KOSMO! ONLINE














