fbpx
KEADAAN Roslan Saleh yang kini tidak boleh berjalan dan sudah hilang penglihatan akibat kencing manis dan glaukoma.

Pelakon Roslan Saleh terlantar, hilang penglihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH – Keadaan kesihatan pelakon veteran, Roslan Saleh semakin merosot selepas hilang penglihatan dan tidak lagi boleh berjalan akibat penyakit kencing manis kronik yang dihidapi.

Menurut isterinya, Zainun Majid, 53, Roslan yang mesra dengan panggilan Pak Lan mula kehilangan daya penglihatannya kedua-dua belah matanya sejak Mei lalu disebabkan masalah glaukoma.

Katanya, tahap kesihatan pelakon veteran itu bagaimanapun merosot secara mendadak sehingga tidak lagi dapat berjalan selepas insiden kaki kirinya melecur gara-gara membuat rawatan alternatif.

“Pak Lan ni makin teruk masa Hari Raya Aidilfitri hari tu apabila kaki kiri dia melecur selepas buat rawatan alternatif sampai doktor terpaksa mengambil kulit di pahanya untuk tampal di tempat cedera.

“Selepas itu terus Pak Lan susah nak berjalan, nak pergi ke tandas kena berpimpin tapi doktor tak kasi sangat Pak Lan bergerak jadi kena pakai lampin,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di Jalan Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Roslan ketika ditemui sempat meluahkan rasa rindunya dalam dunia lakonan yang menjadi kerjayanya lebih 30 tahun lalu.

“Kerjaya kita kan, berlakon ni dah berpuluh-puluh tahun, memang lah kita rindu tapi dah macam ni (keadaan kesihatan) nak buat macam mana.

“Kawan-kawan (pelakon) kita dah anggap macam keluarga. Alhamdulillah, ramai kawan-kawan yang datang, yang tanya khabar. Insya-Allah,” katanya.

ROSLAN atau Pak Lan kini tidak mampu berjalan sendiri dan perlu dipapah untuk bangun.

Ujarnya, meskipun tahap kesihatannya tidak begitu memberangsangkan, namun masih ada rakan-rakan yang sudi menawarkan watak kepadanya termasuk daripada KRU Studio, tetapi terpaksa ditolak.

Roslan merupakan merupakan pelakon veteran dan membintangi banyak drama dan filem popular antaranya Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2, Anak Perjanjian Syaitan dan Ratu Kala Jengking : Puteri Keranda.

Dia bagaimanapun tidak lagi aktif dalam dunia lakonan selepas mengalami masalah kencing manis, tekanan darah rendah sejak enam tahun lalu.

Roslan kemudian meneruskan perniagaan keluarganya iaitu Daging Dendeng Pak Lan yang dijual secara kecil-kecilan di sekitar Alor Gajah. – KOSMO! ONLINE

POPULAR