fbpx

Mahkamah: Kes culik Vellfire putih, 3 lelaki mengaku tak salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga tertuduh ketika dibawa anggota polis tiba di Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

AMPANG – Tiga lelaki lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki berdekatan sebuah restoran di Jalan Pandan Indah di sini minggu lalu.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh iaitu Lim Chee Hau, 40, Yeo Chian Huat, 37, dan Yong Hong Choon, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama telah melarikan Lian Ooi Long, 38, dengan niat hendak mengurung secara sulit dan salah di sebuah restoran di Jalan Pandan Indah, Taman Pandan Indah di sini pukul 5.03 petang pada 29 September lalu (2022).

Berikutan itu pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Majistret Normaizan membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,000 berserta syarat tambahan iaitu mereka tidak dibenarkan menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Tarikh 14 Disember ini ditetapkan sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berlainan tertuduh Chian Huat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran menawarkan jaminan RM5,000. Namun peguam Ethan Tan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu.

Majistret Amalina Basirah Md Top kemudian membenarkan Chian Huat diikat jamin RM2,500 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan dua minggu sekali serta dilarang mendekati mangsa. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.

Kosmo! Online 30 September lalu melaporkan hutang dengan pihak majikan dipercayai punca seorang lelaki dilarikan secara paksa sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire di sebuah restoran di Pandan Indah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI