fbpx

Lelaki hias banglo RM7 juta dengan lukisan doodle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumah Sam yang berharga £1.35 juta (RM7 juta) dihias sepenuhnya dengan lukisan doodle. – Instagram

LONDON – Seorang artis seni dari Britain mengecat keseluruhan bahagian rumahnya yang berharga £1.35 juta (RM7 juta) dengan lukisan doodle menggunakan 900 liter emulsi, 401 tin cat semburan, 286 botol cat lukisan dan 2,296 mata pena, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Sam Cox, yang lebih dikenali sebagai Mr. Doodle atau Doodle Man, telah menghabiskan masa selama dua tahun menampal dinding banglo bertema neo-Georgia menggunakan lukisan hitam putih.

Artis berusia 28 tahun itu memiliki 2.7 juta pengikut Instagram selepas belajar dalam bidang ilustrasi di Universiti Barat England, di mana dia menghabiskan masa selama 16 jam sehari untuk melukis.

Dia mula dikenali ramai pada 2017 selepas membuka sebuah kios kecil di timur London selain video-video hasil karyanya turut ditonton sehingga 46 juta kali seminggu.

Sam berkata, matlamat jangka panjangnya adalah untuk membeli sebuah rumah yang akan diubah suai mengikut tema doodle, dan pada 2019, impiannya menjadi kenyataan apabila dia membeli sebuah hartanah di bandar Tenterden, Kent.

“Pemilik asal yang menjual rumah ini berkata bahawa saya bebas melakukan apa sahaja, namun jangan melukis doodle. Saya tidak menghiraukan kata-kata mereka,” katanya kepada akhbar The Sunday Times.

Projek Sam bermula pada bilik tidur utama, di mana dia menghiasnya dengan lukisan doodle bertema ‘impian’, dan diikuti dengan bilik mandi yang mempunyai tema laut.

“Ia merupakan projek paling lama yang saya pernah hasilkan. Saya mahu katakan bahawa saya melakukan semuanya sendiri,” ujarnya.

Ahad lalu, Sam mendedahkan projek yang telah siap sepenuhnya itu, yang disifatkan lelaki berkenaan sebagai ‘hasil seni hidup’ menerusi rakaman video di media sosial.

Dalam video tersebut, tiada satu pun ruang yang ditinggalkan tanpa lukisan doodle, termasuk dinding dan siling rumah serta peralatan termasuk televisyen, peralatan memasak serta tab mandi.

Sam turut mengaku bahawa dia ingin meluaskan lagi kreativiti tersebut dengan melukis lebih banyak rumah di kawasan setempat bagi menjadikannya sebuah ‘pekan doodle’. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI