SHAH ALAM – Kes penipuan rumah sewa terus berleluasa apabila scammer menjadikan musim kemasukan pelajar universiti ke semester baharu sebagai lubuk bagi mereka mengaut keuntungan dengan memperdaya golongan itu hingga mengakibatkan kerugian puluhan ribu ringgit.
Setakat ini, penipuan berlaku kepada pelajar tahun kedua ke atas dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terdesak mendapatkan rumah sewa sebelum kelas bermula hingga melibatkan kerugian lebih RM30,000.
Modus operandi mereka mudah iaitu membuat iklan dengan menggunakan gambar hiasan seperti apartmen atau rumah teres dan meminta pelajar membayar deposit 2+1 sebagai cagaran supaya kediaman tidak diserahkan kepada pihak lain tanpa melihat rumah terlebih dahulu.
Pelajar yang terdesak akan mengikut segala arahan lebih-lebih lagi rumah itu berdekatan dengan kampus tanpa membuat pemeriksaan kesahihan status ejen atau pemilik kediaman itu.
Presiden Majlis Perwakilan UMS, Eliezer Nevall Anthony berkata, pihaknya menerima lebih 10 laporan setakat ini dengan anggaran kerugian mencecah RM30,000.
Katanya, kesemua mangsa telah membayar deposit RM3,000 untuk tempahan awal bagi mengelakkan rumah itu diberikan kepada pelajar lain.
“Pelajar terdesak kerana ada dalam kalangan mereka tidak mengetahui status rayuan asrama sama ada dapat atau tidak.
“Percaya bulat-bulat kepada ejen atau orang persendirian menerusi iklan membuatkan mereka terlupa atau tidak mempunyai masa untuk lihat rumah sebelum menyedari telah ditipu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurut Eliezer Nevall, berdasarkan aduan, taktik yang digunakan sindiket ialah memberikan gambar rumah berserta kemudahan lokaliti yang disyaki milik orang lain.
Tambahnya, sindiket yang menyamar sebagai pemilik rumah akan melakukan desakan halus supaya segera membayar deposit jika tidak mahu kehilangan kediaman sewa tersebut.
“Ketika ini terdapat hampir 16,000 pelajar UMS dengan 60 peratus daripadanya adalah pelajar tahun kedua. Rumah yang disediakan Kementerian Pengajian Tinggi berhampiran kampus pula kebanyakannya telah penuh,” katanya.
Ujar Elieze Nevall, selain itu pelajar juga berdepan dengan masalah sukar untuk menghubungi pemilik atau tidak mendapat maklum balas sewajarnya.
“Kami telah membuat aduan kepada Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan UMS dan berharap pihak pengurusan universiti mempercepatkan tarikh keputusan rayuan bagi mengelakkan isu scammer menjadi lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPP UiTM, Rasydan Mohd. Hassan berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung isu sama melibatkan kerugian RM2,400.
Beliau menegaskan, terdapat kira-kira 15,000 daripada 30,000 pelajar UiTM Shah Alam khususnya mencari rumah sewa setiap tahun.
“Ia sering berlaku apabila hendak masuk universiti, namun ketika ini kes tidak begitu serius di UiTM.
“Kita juga telah membuat pemakluman portal rumah sewa Non Residen dalam mengatasi isu scammer ini supaya tiada pelajar kita menjadi mangsa,” katanya.
Jelasnya, keputusan rayuan menduduki kolej kediaman UiTM telah dikeluarkan mulai 28 September lalu dengan ramai permintaan pelajar tahun kedua dan ke atas telah diluluskan kali ini.














