fbpx
Gambar hiasan.

PLUS jangka 1.9 juta kenderaan hujung minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya setiap hari bermula Jumaat sehingga Isnin berikutan cuti sambutan Maulidur Rasul.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd. Yusuf Abdul Aziz berkata, jumlah itu dijangka berterusan pada hujung minggu ini memandangkan kebanyakan pengguna mengambil kesempatan cuti selama tiga hari.

“Sejak beralih ke fasa endemik, PLUS merekodkan jumlah trafik harian sepertimana tempoh pra-pandemik iaitu 1.7 juta kenderaan setiap hari.

“Pada ketika ini, jumlah tersebut melonjak kepada 1.9 juta kenderaan sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Info grafik.

Oleh itu, katanya, pengguna lebuh raya disarankan untuk membuat persediaan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan.

“Sebelum memasuki lebuh raya, pelanggan dinasihatkan untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go dan e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID).

“Selain itu, dengan memuat turun aplikasi PLUS, pengguna lebuh raya juga boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini,” ujarnya.

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan memakai pelitup muka apabila berada di kawasan sesak mengikut prosedur operasi standard (SOP) pasca Covid-19. – KOSMO! ONLINE

POPULAR