fbpx

Arbitrasi selesaikan konflik perundangan secara harmoni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im berucap pada program Minda Pakar-Overview on an Arbitration: Theory and Practice di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini. GAMBAR FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) buat julung kalinya menganjurkan program arbitrasi yang menghimpunkan pengamal undang-undang di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Program berkenaan dikendalikan arbitrator, Prof. Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer mantan Hakim Mahkamah Rayuan selain profesor di MAHSA University.

Ketua Pengarah JKSM, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, arbitrasi atau dikenali sebagai hakam atau timbang-tara bukanlah suatu istilah asing dalam Islam.

Beliau berkata, arbitrasi atau hakam adalah salah satu penyelesaian alternatif terhadap kaedah perbicaraan dimana perlaksanaannya dibuat secara tertutup.

“Kaedah itu menampilkan ciri-ciri khas yang menggalakkkan perbincangan, mampu menyelesaikan kes dalam tempoh yang lebih singkat dan mengurangkan perseteruan.

“Di Mahkamah Syariah, konsep hakam hanya diaplikasikan menerusi seksyen 48, Undang-undang Keluarga Islam, iaitu apabila berlaku syiqaq bagi permohonan perceraian,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini hari ini.

Katanya, buat masa ini, beberapa buah negeri yang telah mengkanunkan Kaedah-kaedah Hakam seperti di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang mana hakam boleh terdiri sama ada dari kalangan ahli keluarga, mahupun hakam panel yang dilantik oleh Majlis Agama Islam.

Mohd Na’im berkata, pelaksanaan di Mahkamah Syariah ini berbeza dengan pengaplikasian konsep arbitration dan hakam di Mahkamah Sivil yang digunakan secara meluas, merangkumi perkara berkaitan kekeluargaan, pertikaian sivil malah melibatkan konflik antara negara.

“Walaupun terdapat kelainan antara pelaksanaan Majlis Tahkim di Mahkamah Syariah dengan kaedah pengoperasiannya di Mahkamah Sivil, namun JKSM percaya terdapat teori dan prosedur pelaksanaannya yang boleh diharmonikan dan diadaptasi di Mahkamah Syariah.

“Program arbitrasi ini diharap dapat mencapai matlamat untuk membuka dimensi baharu kepada pegawai syariah terhadap pelaksanaan arbitrasi di Mahkamah Sivil.

“JKSM juga percaya jika kaedah ini dikendalikan dengan baik, ia mampu menjadi platform kepada pengamal undang-undang syariah dan sivil dalam menyelesaikan konflik perundangan dengan lebih harmoni,” katanya.

Katanya, untuk rekod, statistik yang dikeluarkan oleh JKSM sepanjang 2015 hingga 2019 menunjukkan terdapat 306,454 kes pembubaran perkahwinan.

Jelasnya lagi, daripada pola pemfailan kes tersebut didapati bahawa berlaku peningkatan pemfailan kes perceraian menerusi kaedah hakam dengan peratusan sebanyak 49 peratus, berbanding tujuh jenis pembubaran perkahwinan lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI