fbpx
Pengetua SMKA Sharifah Rodziah (tengah) memegang buku Kenangan Mengusik Jiwa sempena pelancaran buku tersebut di The Shore Shopping Gallery baru-baru ini.

Buku Kenangan Mengusik Jiwa imbau memori alumni Sharodz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Sekumpulan alumni pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah (Sharodz) mengimbau memori zaman remaja apabila hadir memakai persalinan sekolah pada majlis Pelancaran Buku Kenangan Mengusik Jiwa di sini, pada Ahad lalu.

Majlis pelancaran buku itu berlangsung di pentas utama Pesta Buku Melaka 2022 yang diadakan di The Shore Shopping Gallery.

Buku terbitan Bonda Nor Sdn. Bhd. itu, merupakan sebuah karya antologi mengandungi 34 kisah menarik yang ditulis oleh alumni pelajar sekolah tersebut selepas mengikuti Bengkel Penulisan Bonda Nor pada 1 Mac 2020.

Kebanyakan kisah yang ditulis mengimbau kenangan ketika masing-masing bergelar pelajar di salah satu sekolah terkenal di negeri Melaka itu.

Pengarah Urusan Bonda Sdn. Bhd., Norli Madlan berkata, dia bersyukur kerana dapat menghasilkan buku Kenangan Mengusik Jiwa yang disifatkan sangat berharga untuk dirinya selaku penulis genre dakwah santai terkenal di Malaysia.

“Walaupun penerbitan buku ini mengambil masa disebabkan banyak perkara terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya bersyukur kerana akhirnya ia dapat direalisasikan.

“Memang dulu, saya pernah membenci sekolah ini. Namun saya akui satu persatu hakikat yang perlu saya syukuri.

“Sekolah atas bukit ini telah mendidik hati saya dengan sebegitu banyak perkara. Sekolah ini mengeluarkan kemampuan diri saya untuk kembangkan lagi, menemukan sekian banyak keburukan yang perlu saya cuci supaya boleh menjadi lebih baik lagi,” katanya.

Lebih dikenali sebagai Bonda Nor, anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu itu merupakan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i selain bergelar penulis best-seller dengan lebih 50 karya.

Salah seorang penulis, Munira Mohd. Rejab, 40, berkata dia sangat teruja kerana berpeluang terlibat dalam penerbitan buku ini.

Melakarkan karya bertajuk Kunci Amanah, Munira berkongsi pengalamannya yang ketika itu gagal menjaga kunci kelas jahitan dengan baik disebabkan naluri remaja yang tidak mahu didenda.

“Waktu itu memang tak rasa bersalah, tapi bila difikirkan semula malu sendiri. Apapun, diharap dengan kelahiran buku ini mampu memberi pengajaran kepada khalayak pembaca di luar sana,” ujarnya.

Majlis dirasmikan Pengetua Sharodz, Ismail Mohmd. Turut hadir bekas pelajar Sharodz yang sama-sama memberi sokongan di atas penerbitan buku tersebut.

Bonda Nor popular dengan siri buku Pujuklah Hati, Be Strong dan Bangkit yang telah diulang cetak beberapa kali. – KOSMO! ONLINE

POPULAR