fbpx
Mayat wanita berkenaan ditemui di tokong Longshan, daerah Wanhua, Taiwan. – Viator

Mayat gadis ditemui bersama nota amaran agar tidak berhubung dengan alam ghaib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI – Seorang wanita dari Hong Kong ditemui mati di sebuah tokong di Taiwan di samping sekeping nota yang tertera  amaran betulis mengenai larangan berkomunikasi dengan alam ghaib, lapor portal berita Coconuts.

Menurut laman berita CTWANT  memetik kenyataan polis tempatan, seorang tukang cuci yang bekerja di tokong Longshan, daerah Wanhua mendapati pintu tandas perempuan di tingkat bawah tanah tokong itu tidak dapat dibuka.

Dia juga tidak menerima respons ketika memeriksa sekiranya terdapat individu terperangkap di dalam tandas tersebut pada pukul 2 petang (waktu tempatan), Khamis lalu.

Selepas meminta bantuan pengawal keselamatan untuk membuka pintu, mereka menemui mayat seorang wanita yang dipercayai telah mati untuk satu tempoh yang agak lama.

Turut ditemui kemudian adalah dua keping nota di dalam beg milik wanita berkenaan yang bertulis pesanan seperti: “Maafkan saya kerana menyusahkan anda. Ia amat sukar untuk membersihkan (mayat). Maafkan saya. Jangan sesekali berkomunikasi dengan apa-apa yang berada di alam ghaib.” 

CTWANT turut memetik laporan polis yang menyatakan bahawa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV)  menunjukkan wanita berkenaan memasuki tokong itu berseorangan dan menuju ke arah tandas. Dia kemudian tidak dilihat meninggalkan mana-mana lokasi di dalam tokong itu.

Tambah polis, mayat wanita berkenaan dikenal pasti sebagai pelajar berusia 20 tahun dari Hong Kong yang melanjutkan pengajian di Taiwan. – Agensi 

 

POPULAR