MENGHASILKAN kuih baulu yang merupakan makanan tradisi masyarakat Melayu dan kuih bulan yang merupakan kuih tradisi orang Cina telah menjadi rutin kehidupan Pujiah Baharan, 62, dari Jalan Yadi, Kampung Delek, Klang, Selangor.
Pujiah yang sudah menceburi perusahaan baulu sejak 15 tahun lalu menganggap kuih bulan yang baru empat tahun dikomersialkan membuka ruang rezeki baharu kepada keluarganya.
Menurut ibu kepada tujuh orang anak ini, rezeki sudah disediakan untuk semua insan, cuma kita perlu memecahkan ruyung untuk mendapatkan sagunya.
Biarpun berketurunan asli Melayu, Pujiah kini dikenali dengan kreativitinya menghasilkan kuih sinonim masyarakat Cina iaitu kuih bulan dengan suntikan cita rasa Melayu serta kuih Melayu iaitu baulu dengan suntikan budaya Cina.
Sebelum menghasilkan kuih bulan empat tahun lalu, wanita itu terlebih dahulu mendapat idea untuk menyuntik elemen Cina pada baulu tradisi Melayu dengan memasukkan elemen ikan koi.
Baulu berbentuk ikan koi itu diserikan dengan tompokan berwarna hijau dan merah.
“Ikan koi mengikut kepercayaan orang Cina boleh membawa tuah, kesejahteraan, kekayaan dan keuntungan.
“Jadi, pemberian baulu berbentuk ikan koi tersebut seolah-olah mendoakan ke arah sedemikian,” katanya kepada Panorama.

KUIH bulan yang dihasilkan Pujiah berwarna-warni.
Siapa sangka, percubaannya menawarkan baulu ikan koi pada tahun 2015 itu mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Cina.
Menurutnya, baulu ikan koi ini dibeli sebagai hadiah perkahwinan dan majlis keraian dengan permintaan tinggi diterima setiap kali Tahun Baharu Cina.
“Untuk Tahun Baharu Cina, permintaan kuih baulu ikan koi yang dihasilkan ini mampu mencecah sehingga lebih 5,000 biji,” ujarnya.
Selain baulu ikan koi, Pujiah tetap menjual baulu lazim tradisi Melayu dengan mengikut permintaan terutama menjelang perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.
Menyentuh mengenai kuih bulan, Pujiah berkata, dia mempelajari pembuatan kuih itu setelah mendapat permintaan daripada seorang pelanggan di Johor.
“Saya belajar dari buku, menonton You Tube selain bertanya resipi dan cara memasak kuih bulan daripada orang Cina sendiri,” katanya.

Namun jelas Pujiah, bukan mudah untuk membuat kuih bulan dengan hanya mengikut resipi tanpa kaedah yang tepat.
Kata isteri kepada pesara syarikat swasta, Mutalib Sarpi, 62, itu, cubaan awal membuat kuih bulan gagal hingga dia hampir melupakan hasrat menghasilkan kuih tersebut.
“Akhirnya berkat usaha dan pembuatan kuih bulan yang diadun dengan makanan sunnah seperti madu, akhirnya kuih bulan saya menjadi dan mendapat sambutan daripada masyarakat Cina sendiri.
“Pelanggan dalam kalangan orang Cina mengatakan kuih bulan saya ada keistimewaan tersendiri setelah diadun dengan bahan-bahan tambahan,” katanya yang memberitahu resipi kuih bulannya turut diubah suai agar bersesuaian dengan cita rasa orang Melayu.
Kuih bulan dihasilkannya mempunyai perisa atau inti kacang, biji teratai dan kuning telur masin.

Sorot Pujiah, pada tahun 2018, dia telah menghasilkan kuih bulan dengan permintaan sebanyak 3,000 hingga 5,000 biji semasa musim perayaan kuih bulan.
Jelasnya lagi, pada tahun kedua permintaan naik mendadak sehingga 18,000 biji sampai dia tidak menang tangan memenuhi pesanan.
“Kini, setiap tahun menjelang dua minggu sebelum Pesta Kuih Bulan atau Pesta Tanglung pada 10 September, permintaan terus meningkat sehingga saya memerlukan pekerja tambahan,” kongsinya.
Menurut Pujiah, permintaan itu datang daripada pelanggan-pelanggan dari pelbagai negeri seperti Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Pujiah yang pernah bertugas dengan agensi kerajaan Selangor berkata, dia mampu menghasilkan antara 200 saiz besar dan 500 saiz kecil kuih bulan setiap hari.
“Sebiji kuih bulan kecil berinti kacang merah berharga RM3.50 dan kuih bulan besar inti kacang merah dan telur masin ialah RM20.

PUJIAH tekun menghasilkan kuih bakul di rumahnya di Kampung Delek, Klang, Selangor.
“Harga kuih bulan tinggi kerana bahan yang digunakan seperti tepung kuih bulan, inti seperti biji teratai dan telur masin sememangnya mahal.
“Namun, ia bukan faktor penghalang bagi pembeli dari Sabah dan Sarawak turut memesannya melalui WhatsApp,” katanya.
Mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak yang mengaitkan isu sensitiviti agama dan budaya dalam soal permakanan, Pujiah yang merupakan orang Melayu sejati menganggap itu pandangan yang bersifat individu.
Pujiah yang mempunyai ramai kawan dalam kalangan kaum Cina seperti di Pulau Ketam berkata, sebagai rakyat Malaysia, orang Cina turut menghargai makanan mereka dimasak oleh orang Melayu.
“Kita tinggal di negara majmuk berbilang kaum dan agama. Kita boleh menyesuaikan makanan mahupun budaya kaum lain mengikut kesesuaian budaya kita.
“Kuih bulan mahupun kuih baulu kedua-duanya tetap menjadi pilihan orang Melayu mahupun Cina. Macam konsep Keluarga Malaysia, kita boleh hidup bersama secara harmoni dalam negara ini selagi tidak menyentuh sensitiviti masing-masing,” katanya.














