fbpx
BUAT masa ini, Wany Hasrita mengakui dia terpaksa berulang-alik ke Sarawak untuk bertemu suaminya kerana lelaki itu bekerja di sana.

Rindu berjauhan, Wany Hasrita nak pindah ikut suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ekoran tinggal berjauhan dan terpaksa melalui perhubungan jarak jauh yang menyakitkan, penyanyi Wany Hasrita sememangnya merancang untuk berpindah menetap bersama suaminya di Kuching, Sarawak.

Kata Wany, pun begitu, perancangan tersebut bukanlah dalam masa terdekat kerana banyak perkara berkenaan kerjaya seninya yang belum dilunaskan.

“Baru-baru ini saya ada ke sana beberapa hari menjenguk suami dan tak dapat nak lama-lama atas urusan kerja.

“Nak cakap tak rindu, tipulah. Semua pasangan suami isteri yang berjauhan pasti akan rasa perkara sama.

“Memang ada perancangan nak pindah dan menetap bersama suami di sana, tetapi mustahil dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, suaminya juga faham keadaan dan komitmennya sebagai anak seni dan tidak pernah bertanyakan soal tersebut (pindah).

“Suami faham dan okey saja. Pada saya ini adalah fasa terpaksa berjauhan untuk beberapa tahun. Sebelum kahwin, kami memang dah berbincang.

“Nanti kalau sudah ada anak, pasti saya akan tinggal di sana juga. Suami memang bekerja dan based (berlokasi) di sana. Buat masa ini saya yang akan kerap ke sana dan ini dah masuk dua kali.

“Suami kalau ada cuti, dia akan datang ke Kuala Lumpur. Tak mengapalah, kita lalui saja fasa awal perkahwinan ini. Asalkan masing-masing faham dengan komitmen dan bertolak ansur sudah cukup,” katanya.

Diaju soalan berkenaan cahaya mata, pelantun lagu Menahan Rindu itu mengakui belum mempunyai perancangan untuk bergelar ibu dan bapa buat masa ini, namun tidak menolak seandainya rezeki sudah tiba.

“Soal cahaya mata kami serahkan kepada Allah. Buat masa ini, tiada perancangan lanjut mengenai zuriat. Kalau ada rezeki, alhamdulillah,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Konsert Canggung Datuk Jamal Abdillah kelmarin.

Selain Wany, konsert yang bakal diadakan pada 29 Oktober ini di Kangar, Perlis anjuran Zeel Production turut dimeriahkan dengan barisan artis jemputan lain seperti Khai Bahar, Amir Masdi, Amelina dan Aweera.

Terdahulu, Wany selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan yang bekerja dalam bidang penerbangan, Mohd. Al-Adib Fahmi Harun dengan dua kali lafaz tepat pukul 9.11 malam 22 Julai di Glam Hall, Damansara Perdana di ibu kota.

Pasangan yang masing-masing berusia 30 tahun itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Hasbullah Hassan, 56, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa. – KOSMO! ONLINE

POPULAR