fbpx
Seorang lelaki menunggang motosikal di jalan yang dinaiki air susulan Taufan Noru di bandar Hoi An, Vietnam kelmarin. – AFP

Kemusnahan akibat Taufan Ian, Noru terus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Taufan Ian membadai sebahagian besar pantai barat daya negeri Florida, Amerika Syarikat (AS) kelmarin dengan membawa ribut, angin kuat dan banjir, sekali gus mendorong petugas kecemasan bersedia memberikan respons besar-besaran.

Peronda Sempadan AS melaporkan kehilangan 20 imigran selepas bot yang mereka naiki karam di laut. Empat warga Cuba sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke darat di pulau Florida Keys, manakala tiga lagi berjaya diselamatkan di laut oleh pengawal pantai.

Rakaman televisyen dari bandar pesisir pantai Naples menunjukkan air banjir menghempas rumah tepi pantai, menenggelamkan jalan raya dan menghanyutkan sebilangan kenderaan.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC), taufan Ian membawa angin dengan kelajuan maksimum 240 kilometer sejam (km/j) apabila ia melanda.

Ia kemudian lemah kepada Kategori 3 dengan angin berkelajuan 169 km/j direkodkan ketika membadai negeri Florida dengan ribut, angin dan banjir yang dahsyat,” kata NHC malam kelmarin.

Hampir dua juta penduduk di Florida terputus bekalan elektrik pada petang kelmarin dengan kawasan barat daya negeri itu paling teruk dilanda bencana, demikian menurut laman web penjejakan PowerOutage.us. 

Dalam perkembangan berlainan, Taufan Noru terus membadai Vietnam sehingga menyebabkan bumbung-bumbung rumah diterbangkan selain bekalan elektrik terputus di tengah negara itu.

Di Danang yang merupakan bandar ketiga terbesar di Vietnam, bangunan tinggi bergegar apabila taufan itu melanda awal pagi kelmarin yang membawa angin berkelajuan 120 km/j, demikian menurut agensi ramalan cuaca negara.

Lebih 300,000 penduduk di Vietnam berlindung semalaman selepas pakar meramalkan bahawa ribut itu akan menjadi salah satu yang paling besar pernah melanda negara itu.

Sementara itu, di Laos, pihak berkuasa mengarahkan pengawasan rapi di empangan dan menggesa orang ramai mencari perlindungan untuk diri mereka sendiri dan haiwan ternakan.

Taufan Noru kemudian dijangka bergerak ke wilayah Ubon Ratchathani di timur laut Thailand sebelum secara beransur-ansur menjadi ribut tropika. – AFP 

POPULAR