fbpx
FESYEN yang pelik daripada kebiasaan dan dipakai bagi menarik perhatian umum haram dipakai menurut syarak.

Fesyen pelik tarik perhatian dilarang dalam Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya peminat fesyen. Soalan saya kenapa Nabi s.a.w melarang pakaian yang dilihat ganjil atau pelik? Bagaimana mahu mengukur hal itu, mohon penjelasan?

Jawapan:

Dalam hadis, Nabi s.a.w melarang pakaian syuhrah. Asal perkataan syuhrah bermaksud yang menonjol atau yang jelas nampak atau tersebar.

Kita dalam bahasa Melayu guna perkataan Arab ini iaitu masyhur bermaksud yang tertonjol atau yang tersebar. Ungkapan pakaian (libas/thaub) syuhrah yang digunakan dalam hadis Nabi s.a.w, yang mana baginda bersabda:

“Sesiapa yang memakai pakaian syuhrah, Allah akan memakaikannya pada Hari Kiamat pakaian kehinaan,” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Abu Daud. Hadis hasan).

Pakaian syuhrah yang dimaksudkan dalam hadis ialah pakaian pelik bagi penduduk atau sesiapa yang berada di negeri atau tempat pakaian itu dipakai.

Dalam erti kata lain, pakaian yang menyalahi uruf setempat.

Ia akan membuatkan mata orang ramai tertumpu kagum atau rasa ganjil terhadap si pemakai. Pakaian itu dipakai atas kesombongan yang ada dalam diri pemakaian.

Tujuannya agar mata orang ramai tertumpu padanya, berasakan diri istimewa sama ada di sudut kekayaan atau di sudut kewarakan beragama.

Inilah yang dihuraikan oleh para ulama seperti al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) dalam Nil al-Autar (lihat: 2/132. Mesir: Dar al-Hadith).

Maka, pakaian atau fesyen yang cantik tidak salah jika tidak menjadikan ia jelas menyanggahi uruf setempat sehingga menimbulkan rasa ganjil atau pelik di mata orang ramai serta ia dipakai bukan kerana kesombongan dan bongkak.

Ertinya, pakaian syuhrah itu dinilai berdasarkan uruf setempat dan niat pemakainya.

Maka, kemungkinan pakaian yang dilihat syuhrah di suatu tempat, tidak menjadi syuhrah di tempat yang lain.

Niat juga memainkan peranan. Pakaian yang dilihat selekeh pun jika tujuan untuk menarik perhatian orang ramai tertumpu kepadanya agar mereka menganggap dirinya zuhud, wali dan seumpamanya juga termasuk dalam syuhrah, (lihat: Ibn Malik, Syarh Masabih al-Sunnah 5/24. Kuwait: Idarah al-Thaqafah al-Islamiyyah).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN