fbpx

Tak patut panggil anak istimewa jadi modal lawak – Ahmad Idham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD Idham terpanggil memberi teguran demi kasih sayang terhadap generasi baharu dalam industri.

PETALING JAYA – Pengarah dan pelakon, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menegur peserta Muzikal Lawak Superstar musim ketiga (MLS3) yang menjadikan isu anak istimewa sebagai modal jenaka pada kemuncak pertandingan tersebut, baru-baru ini.

Kata Idham, dia perlu bersuara kerana budaya menjadikan watak anak istimewa sebagai modal berlawak seolah-olah semakin dinormalisasi dalam masyarakat.

“Baru-baru ini tular dalam media sosial sebuah rancangan komedi satu kumpulan melakonkan watak seorang anak istimewa, Yoe Parey yang diagnosis mempunyai masalah pembelajaran.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menegur sebagai tanda kasih dan sayang saya kepada adik-adik dalam industri hiburan.

“Mengundang dia ke pentas untuk menonjolkan kebolehan tidak mengapa, tetapi membuat ‘meme’ meniru cara percakapannya adalah tidak patut.

“Harapan saya agar kita tak terus membudayakan perkara sebegini kerana itu akan mempengaruhi anak-anak muda lain untuk melakukan perkara sama,” katanya.

Walaupun tidak menyebut program dan kumpulan dimaksudkan, difahamkan bapa kepada tiga anak itu merujuk kepada Ubi yang dianggotai Fad Bocey, Sharif Zero dan Namie.

Mereka juga dinobatkan sebagai juara pertandingan berkenaan dengan mengenepikan tiga kumpulan lain.

Sementara itu, Idham yang mempunyai seorang anak istimewa berusia 22 tahun, Ahmad Firdaus, mengakui menerima maklum balas mengenai lawak kumpulan dimaksudkan daripada ibu bapa lain.

“Jauh di sudut hati ibu bapa kanak-kanak istimewa ini terbuku sedikit rasa kecewa apabila kekurangan anak mereka dijadikan bahan lawak untuk mentertawakan orang.

“Saya mendapat keluhan ini terus daripada ibu bapa ketika mengadakan program jelajah bawah Hab Pendidikan Khas yang saya kendalikan,” katanya.

Pada masa sama, Idham yang juga aktivis kemasyarakatan itu berharap semua pihak peka dengan perkara tersebut selain memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Semoga kita semua dapat terus memainkan peranan di posisi masing-masing untuk membentuk komuniti yang positif dan saling menyokong antara satu sama lain tanpa mendiskriminasi mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu, selain Ahmad Firdaus, perkahwinannya dengan Amy Aziz turut diserikan tiga cahayamata iaitu Ahmad Aydeel, 18, Kintan Myra, 16, dan Ahmad Khaliff, 12.

Bintang Mr Cinderella bersama isterinya menubuhkan sebuah sekolah pendidikan khas dan terapi buat anak-anak (OKU) yang diberi nama Eden Firdaus School pada 2016. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI