fbpx

Rapper AS, Coolio meninggal dunia dalam bilik air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
COOLIO dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung.

PETALING JAYA – Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat (AS), Coolio meninggal dunia pada usia 59 tahun, semalam.

Menerusi laporan media antarabangsa, figura yang terkenal dengan lagu Gangsta’s Paradise itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik mandi di kediaman rakannya.

Berita kematian pemilik nama sebenar Leon Ivey Jr yang juga produser dan aktor itu disahkan pengurusnya, Jarez Posey.

“Temannya itu memanggil namanya selepas dia berada terlalu lama dalam kamar mandi. Apabila pintu ditolak Coolio dalam posisi terbaring di atas lantai.

“Begitupun punca sebenar masih belum didedahkan, namun difahamkan kematian berkaitan dengan serangan jantung,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam (waktu tempatan), pasukan perubatan bergegas ke sebuah rumah di Los Angeles selepas mendapat panggilan kecemasan.

Ketika tiba, mereka terus membuat pemeriksaan, namun mendapati bintang rap elit itu sudah meninggal dunia.

Siasatan awal pihak polis tidak menjumpai barang terlarang, manakala bedah siasat akan dilakukan bagi mencari punca kematian Coolio.

Terdahulu, karyawan kelahiran Pennsylvania itu meraih Anugerah Grammy menerusi Gangsta’s Paradise yang juga runut bunyi untuk filem Dangerous Mind.

Coolio Beliau dinobatkan bagi Persembahan Solo Rap Terbaik pada Grammy 1996 yang ketika itu turut dicalonkan bagi kategori utama, Record of the Year.

Album berkenaan juga mendapat pengiktirafan ‘triple-platinum’ dari Recording Industry Association of America.

Antara lagu popular lain yang malar segar hingga ke hari ini termasuk Fantastic Voyage, 1, 2, 3, 4 (Sumpin’ New) serta C U When U Get There bersama 40 Thevz.

Coolio memulakan kerjaya nyanyian pada pertengahan 1980-an dan terus menyerlah menerusi Gangsta’s Paradise pada 1995.

Empat dekad berjuang dalam arena muzik, bapa kepada enam cahaya mata itu telah merakam lapan album studio selain turut memenangi Anugerah Muzik Amerika (AMA) dan tiga Anugerah Muzik Video MTV.

Pada 1994, Coolio mendedahkan dirinya pernah terbabit dengan isu penyalahgunaan dadah sebelum berjaya keluar daripada ketagihannya selepas bekerja sebagai anggota bomba. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI