fbpx
SUMAREH menjadi mangsa kecaman peminat bola sepak selepas mempamerkan aksi kurang baik pada aksi final Piala Raja Thai di Stadium 700th Anniversary, Chiang Mai Ahad lalu.

Jangan serang individu – Safawi Rasid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYERANG sensasi Harimau Malaya, Safawi Rasid percaya, Mohamadou Sumareh memiliki kekuatan mental untuk mengharungi detik sukar selepas menjadi sasaran kritikan daripada peminat tempatan.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berasakan, adalah tidak wajar untuk menjadikan seseorang sebagai sasaran untuk peminat melepaskan rasa marah kerana keutamaan harus diberikan kepada prestasi pasukan.

“Dalam mana-mana sukan, akan ada kecaman dan pujian. Saya rasa Sumareh mampu atasi kecaman dan sebagai salah seorang daripada kapten pasukan, saya rasa benda itu (kritikan) tidak patut berlaku sebab kami bermain sebagai satu pasukan.

“Kalau mahu kecam, kecam semua dan kalau puji, puji semua. Saya harap ia tidak lagi berlaku, namun saya yakin mental Sumareh cukup kuat,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kelmarin.

Pemain yang cukup dikenali sebagai Keli Boy itu kembali menjadi kecaman peminat bola sepak negara selepas mempamerkan aksi kurang baik ke­tika diberikan peluang membarisi kesebelasan utama pada perlawanan akhir Piala Raja Thai menentang Tajikistan di Sta­dium 700th Anniversary, Chiang Mai Ahad lalu.

Menambah kemarahan penyokong apabila Sumareh dilihat melakukan terjahan kasar ke atas pemain lawan, namun bernasib baik kerana tidak dilayangkan kad merah.

Pada perlawanan itu, Harimau Malaya terpaksa berpuas hati sebagai naib juara apabila tewas 3-0 kepada Tajikistan menerusi penentuan penalti selepas ke­dua-dua pasukan terikat 0-0 pada masa permainan sebenar.

POPULAR