LIPIS – Ibu bapa kanak-kanak yang dikatakan hampir diculik ketika balik bermain bola berhampiran Sekolah Kebangsaan Jeram Landak, di sini bersyukur kerana anak mereka berjaya menyelamatkan diri dan tidak trauma dengan kejadian itu.
Zuki Ishak, 49, berkata, dia yang terkejut dengan berita itu bagaimanapun masih berwaspada dan mengambil keputusan untuk menghantar dan mengambil anaknya dari sekolah.
“Saya rasa lelaki memandu kereta merah berkenaan kemungkinan sudah membuat intipan sebelum kejadian mengenai aktiviti kanak-kanak pada sebelah petang dan tahu lokasi tertentu untuk memerangkap kanak-kanak itu.
“Walaupun mengalami kejadian yang tidak disangka ini, saya bersyukur dan berasa lega kerana anak saya tidak trauma dan hadir ke sekolah hari ini (semalam) seperti biasa. Saya menghantar dan mengambilnya dari sekolah mulai hari ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Jeram Landak, di sini semalam.
Menceritakan kejadian, katanya, ketika kejadian anak bongsu, Mohd. Faris Firdaus, yang berusia 11 tahun dalam perjalanan pulang dari sekolah selepas bermain bola sepak.
“Anak saya memberitahu ketika dia dan rakannya melalui jalan keluar kira-kira 300 meter dari sekolah, tiba-tiba sebuah kereta yang datang dari arah simpang sebuah bukit berdekatan bergerak perlahan dan seseorang yang dipercayai pemandu menyambar tangan anak lalu cuba menarik masuk ke kereta.
“Anak saya mulai gelabah, tetapi mujur rakannya yang berusia 12 tahun sempat membantu cuba melepaskannya dari pegangan tangan suspek dan kemudiannya terlucut akibat licin dibasahi peluh menyebabkan anak saya serta rakannya jatuh terguling di dalam semak,” katanya.
Jarak rumah mangsa ke sekolah cuma kira-kira 500 meter.
Katanya, laluan di tempat kejadian ditumbuhi semak samun dan keadaannya sunyi lebih-lebih lagi pada waktu petang dan malam.
Sementara itu, ibu mangsa, Noraini Abd. Gapar, 44, berkata, dia yang mulanya kurang percaya cerita anaknya itu bersyukur kerana mangsa selamat.
“Setibanya di rumah, anak saya terus memeluk saya sambil bercerita mengenai ada orang menaiki kereta merah menarik tangannya, anak saya kata rupa orang yang menarik tangannya berjambang,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE
















