PETALING JAYA – Tiada apa yang diharapkan daripada seorang isteri selain bertemu dengan suami selepas mereka terpaksa tinggal berjauhan demi mencari rezeki untuk keluarga.
Bagaimanapun, hasrat Maria Firhana Selamat, 26, itu terpaksa dilupakan buat selamanya apabila suami tersayang, Rudi Hermawan Sumarno, 33, yang bekerja sebagai penghantar makanan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan di Jalan Muar-Segamat, Johor, pada 21 September lalu.
Menurut Maria, sebelum ini, mereka tinggal di rumah sewa di Segamat sebelum mengambil keputusan tinggal berjauhan.
“Kali terakhir kami berjumpa hujung bulan Ogos lalu kerana kami tinggal berasingan. Jumaat ini sepatutnya suami ambil saya dan anak-anak, namun ajalnya tiba dengan cepat.
“Saya dapat panggilan daripada kawan suami pukul 8 malam yang memberitahu arwah sudah tiada. Saya terkejut sebab sudah lama kami tidak berjumpa.
“Memang saya kesal juga, tetapi ia ujian untuk saya yang membuatkan saya reda,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Maria Firhana berkata, dia kini tinggal di Keratong, Pahang bersama ibunya sejak lapan bulan lalu, manakala suaminya bekerja di Segamat.
“Disebabkan kami berdepan ujian kewangan dan dalam masa sama, saya perlu menguruskan tiga anak masih kecil, kami mengambil keputusan iaitu saya tinggal dengan ibu di Keratong, Pahang yang jauhnya kira-kira 78 kilometer (km) dari Segamat.
“Suami pula bertukar kerja daripada bahagian kurier di sebuah syarikat dan menjadi penghantar makanan untuk menampung hidup kami sekeluarga,” katanya.
Wanita tabah itu berkata, suaminya merancang mengambilnya bersama tiga anak mereka, Razin Muqri, 2 tahun 5 bulan serta kembar Mardhia Yasmeen dan Maryam Yasmeen berusia 1 tahun 5 bulan ke Segamat, Jumaat ini untuk menghadiri pernikahan bapa mentua.
Berkongsi peribadi suaminya, Maria Firhana berkata, arwah suaminya seorang yang sopan santun, tidak pernah meninggi suara, malah menghormati orang. Dia juga mempunyai ramai kenalan kerana peribadi baik yang ada dalam dirinya.
“Walaupun suami susah, dia tetap tolong orang dan tidak berkira bab duit. Contohnya kalau dia ada RM10 dan saya mahu makan ayam, dia tetap akan cuba usahakan.
“Biarpun saya sedih dan terkejut, apabila melihat pengebumiannya dihadiri ramai orang, saya sebagai isteri berasa tenang walaupun proses yang akan dilalui bukan mudah termasuk membesarkan anak-anak,” ujarnya.
Sementara itu, Maria Firhana berkata, dia akan sentiasa mengingati pesanan suaminya yang memintanya supaya istiqamah menjaga solat dan aurat.
“Malah, sebelum ini saya dan suami pernah bergurau tentang kematian. Saya memberitahu jika saya meninggal dunia dahulu, suami boleh berkahwin lain dan mencari isteri menjaga anak-anaknya.
“Bagaimanapun, suami memaklumkan dia rela pergi dahulu kerana tidak sanggup kehilangan saya.
“Dia juga sering memberitahu rakan-rakannya yang dia sangat menyayangi saya,” ujarnya.














