fbpx

Mahkamah: Barang kemas, jam dan beg tangan mewah hasil seleweng dana 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas di Pavilion sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini berhujah bahawa 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan yang disita di Pavilion Residence milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. empat tahun lalu, adalah hasil penyelewengan dana 1Malaysia Developmenet Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong, berkata ini kerana terdapat urus niaga langsung antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low serta Jho Low Eric Tan, melalui Good Star dan Blackstone Asia Real Estate Partners.

Katanya, sumber utama dalam akaun AmBank bekas Perdana Menteri itu diperoleh daripada wang yang dipindahkan daripada Good Star dan Blackstone Asia Real Estate Partners yang juga adalah syarikat dikawal Jho Low serta Eric.

“Rangkaian hubungan antara Najib , Jho Low dan Eric Tan melalui pelbagai syarikat proksi digunakan untuk mengalihkan wang daripada 1MDB.

“Ia adalah kesalahan pecah amanah jenayah oleh ejen di bawah Seksyen 409 Akta 574 dan kesalahan menerima harta curi secara tidak jujur di bawah Seksyen 411 Akta 574,” katanya.

Harris Ong berkata demikian ketika berhujah pada pendengaran permohonan kerajaan untuk melucut harta di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin di sini hari ini.

Sementara itu, peguam bela Najib, Tania Scivetti, pula berhujah, tujuh jam tangan mewah jenama Richard Millie itu dihadiahkan kepada bekas Perdana Menteri terbabit tiada bukti kukuh menunjukkan dibeli oleh Najib menggunakan dana 1MDB.

“Pemohon (Timbalan Pendakwa Raya) sepatutnya memulangkan kembali jam tangan itu dan tidak meneruskan pelucuthakan harta itu mengikut Seksyen 56 akta berkaitan (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001),” katanya.

Dalam pada itu, peguam syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan iaitu Datuk David Gurupatham berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) berpuas hati dengan representasi dihantar pihaknya sebelum ini, berhubung satu tuntutan gelang berlian.

Katanya, gelang itu yang disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM) kini dikeluarkan dan menjadi hak milik simpanan syarikat terbabit.

Selepas mendengar hujah kesemua pihak, Hakim Muhammad Jamil kemudian menetapkan 14 November ini, bagi keputusan pelucuthakan harta berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI