fbpx
Mangsa parah akibat diserang menggunakan senjata tajam di kawasan hiburan di Jalan Tun Razak kelmarin.

Polis tahan 3 lelaki terlibat gaduh di kawasan hiburan Trec KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki tempatan selepas disyaki terbabit pergaduhan hingga mengakibatkan seorang lelaki Australia parah dipukul, diserang dengan senjata tajam di kawasan hiburan di Jalan Tun Razak, di sini, kelmarin.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 4.54 pagi itu diterima Bahagian Siasatan Jenayah Wangsa Maju sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah menyatakan, hasil siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut melibatkan lima hingga enam lelaki tempatan serta warga asing termasuk mangsa.

“Mangsa telah dipukul secara beramai-ramai dan salah seorang daripada suspek telah menggunakan senjata tajam sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa di bahagian belakang leher, badan dan juga telapak tangan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Ashari, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil dan kini masih menerima rawatan.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah menahan tiga suspek lingkungan usia 20 hingga 30 tahun dan telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga Selasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan polis masih meneruskan siasatan dalam usaha mengesan suspek lain yang masih bebas,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama mana-mana saksi awam yang melihat kejadian berlaku untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE.

POPULAR