fbpx

MUSA ambil alih Melaka United musim depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Azmi (tengah) pada sidang media Kongres Luar Biasa MUSA di Melaka, hari ini.

MELAKA – Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) akan mengambil alih sepenuhnya pengurusan Melaka United FC (MUFC) daripada KenTeam Sdn. Bhd. (KenTeam) bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, sebuah syarikat baharu akan dipilih untuk menguruskan Skuad Sang Kancil yang mana MUSA akan memegang sebanyak 40 peratus saham, manakala selebihnya bakal dikongsi oleh empat syarikat swasta yang akan diputuskan nanti.

Menurutnya, butiran perjanjian yang akan dimeterai memberi kuasa kepada MUSA untuk campur tangan dalam pengurusan MUFC, tidak seperti apa yang terjadi sewaktu diuruskan KenTeam.

“Dalam perjanjian oleh KenTeam sewaktu mengambil alih MUFC, nama MUSA tidak tertera sebaliknya atas nama seorang individu dengan saham 30 peratus, manakala 70 peratus milik syarikat terbabit.

“Bila saya lihat surat perjanjian yang ditandatangani pada 14 Ogos 2020, itu banyak perkara-perkara berkaitan pasukan tidak melibatkan MUSA dan ini yang menjadi pelik kerana perjanjian itu sangat longgar,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kongres Luar Biasa MUSA bagi mengesahkan pelantikan Nur Azmi sebagai Presiden baharu menggantikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut berjanji untuk menyelesaikan isu kemelut gaji pemain yang tertunggak selama tiga bulan seperti yang dibangkitkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Sebagai Presiden MUSA yang baru dilantik, saya berjanji akan menyelesaikan segala masalah yang timbul berkaitan tunggakan tiga bulan gaji pemain.

“KenTeam hanya membayar sebulan dan bukan tiga bulan yang sepatutnya dibayar dan keadaan itu menyebabkan kita dilarang oleh MFL daripada beraksi dalam Piala Malaysia musim ini. Keputusan MFL itu adalah muktamad,” ujarnya.

Nur Azmi berkata, pihaknya akan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Seri Justin Lim yang juga pemilik KenTeam bagi menyelesaikan baki tunggakan gaji pemain, selain melunaskan potongan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dengan kos melebihi RM600,000.

Tambahnya, dia juga meminta agar peminat bola sepak Melaka untuk bersabar dan memberi ruang kepada pengurusan baharu menyelesaikan segala masalah dalaman dan membolehkan MUSA mengambil alih skuad Melaka musim depan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI