fbpx

Kes Bella: Mahkamah tangguh perbicaraan, dua saksi tidak hadir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bella yang memakai baju kurung warna merah jambu hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-18.

KUALA LUMPUR – Prosiding merakam keterangan dua saksi pendakwaan terakhir kes perbicaraan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella ditangguhkan kepada 18 dan 19 Oktober depan.

Penangguhan tersebut diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi selepas kedua-dua saksi tersebut gagal hadir ke mahkamah pada sesi petang tadi.

Difahamkan saksi ke-19, pegawai penyiasat, Inspektor Suhaili Muhad cuti sakit kerana migrain, manakala saksi terakhir, Asisten Superintendan, Rohani Baharom terpaksa mengiring Bella pulang ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, pihaknya perlu merakam keterangan saksi ke-19 (Suhaili) terlebih dahulu sebelum merakam keterangan saksi terakhir.

Ini kerana katanya, Suhaili merupakan pegawai penyiasat asal kes berkenaan, manakala Rohani adalah pegawai yang telah mengambil alih kes berkenaan.

Pada masa sama, Zilfinaz memohon izin mahkamah supaya supaya keterangan kedua-dua saksi pendakwaan diambil mengikut turutan.

Kata Zilfinaz, pihaknya telah menyediakan lebih 400 soalan kepada kedua-dua saksi pendakwaan tersebut, namun terpaksa menangguhkan sesi itu kerana mereka tidak hadir.

Izralizam kemudiannya menetapkan tarikh 18 dan 19 Oktober ini sebagai tarikh baharu merakam keterangan kedua-dua saksi terakhir itu.

Terdahulu, pada sebelah paginya, Bella hadir ke Mahkamah Sesyen di sini bagi memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-18, namun prosiding berkenaan dijalankan secara tertutup.

Difahamkan Bella tiba di mahkamah berkenaan pukul 10.30 pagi dan selesai memberi keterangan kira-kira pukul 12.40 tengah hari.

Hari ini juga merupakan hari terakhir Bella memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Sebelum ini, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI