fbpx

Pengantarabangsaan pengajian tinggi tingkat kualiti penuntut – KPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraini (tengah) bergambar bersama duta-duta wanita dari luar negara pada Program Libat Urus Menteri Pengajian Tinggi Bersama Duta-Duta Wanita Negara Luar di Malaysia di Zenith Hotel, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) percaya bahawa usaha mengantarabangsakan sektor pengajian tinggi bakal meningkatkan daya saing yang merupakan pemacu utama kualiti dalam kalangan graduan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pihaknya juga menyasarkan suatu sistem pendidikan yang mampu memenuhi kehendak pasaran pekerjaan serta masyarakat dan komited dalam meningkatkan kerjasama dengan rakan sejawat di peringkat global.

“Sehingga kini, institusi pengajian tinggi di Malaysia telah melancarkan pelbagai inisiatif temasuklah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum persetujuan (MOA).

“Tahun ini sahaja saya berpeluang menyaksikan pemeteraian 12 MoU dan satu MoA di India, Qatar, Britain, Romania, Turkiye dan Kanada malah saya yakin lebih banyak yang akan menyusul di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Libat Urus Menteri Pengajian Tinggi bersama duta-duta wanita negara luar di Malaysia di sini hari ini.

Menurut Noraini, kerjasama tersebut dijangka bakal memudahkan lagi kajian kolaboratif dan aktiviti inovasi untuk dilaksanakan, program mobiliti penuntut juga kakitangan serta penganjuran bersama seminar dan lain-lain.

“Universiti Sains Malaysia (USM) telah menubuhkan program di Turki tahun lalu manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula akan memulakan program seberang laut di Qatar bermula Oktober ini.

“UKM akan turut membuka cawangan kampus di Doha, Qatar pada 2025 yang bakal menjadikannya sebagai universiti awam pertama memiliki kampus fizikal di luar negara,” jelas beliau.

Tambah Noraini, Malaysia kini menerima kemasukan seramai 131,000 penuntut antarabangsa serta menyasarkan peningkatan kepada 250,000 menjelang 2025 dan peningkatan tersebut termasuklah sejumlah besar penuntut yang terdiri dalam kalangan wanita.

“Ini telah membawa kepada pencetusan idea agar Malaysia menubuhkan sebuah universiti khas bagi penuntut wanita di masa hadapan dan sekiranya ia berjaya dilaksanakan, kita percaya mampu bersaing dan mendapat penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2023.

“Ia sudah pastinya menaikan nama negara dalam bidang pengajian tinggi dan menguatkan posisi Malaysia sebagai hab pengajian tinggi antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI