fbpx

Mahkamah: Hakim benar kredibiliti saksi pembelaan dicabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - FOTO SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti seorang pengarah syarikat pembinaan pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Permohonan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika menyoal balas saksi pembelaan ketiga, Jefri Jamil berhubung pembinaan sekolah agama dan masjid di Masjid Tanah, Melaka yang dibiayai menggunakan dana Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

Pihak pendakwaan berpendirian, keterangan Pengarah Syarikat Teknik Sempurna Sdn. Bhd. itu di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), empat tahun lalu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan itu di bawah Seksyen 155(c) Akta Keterangan 1950 selepas berpuas hati prosiding itu boleh dilakukan di bawah keadaan-keadaan yang dibenarkan mengikut seksyen tersebut.

Hakim Collin berpendapat, seksyen berkenaan membenarkan prosiding itu dimulakan kerana pernyataan kepada SPRM itu tidak menyentuh sama ada ia tertakluk di bawah OSA atau sebaliknya.

Terdahulu, permohonan itu dibantah oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dengan alasan pernyataan Jefri telah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2 Mac 2021.

Menurut Hisyam, pendakwaan tidak boleh memulakan prosiding itu kerana permohonan pihaknya sebelum ini untuk mendapatkan dokumen berkenaan telah ditolak mahkamah atas alasan ia tertakluk di bawah OSA.

Hisyam berhujah, pernyataan itu seharusnya dinyahklasifikasikan terlebih dahulu.

Terdahulu, Jefri memberitahu mahkamah, pembinaan sebuah sekolah agama dan masjid di Masjid Tanah dibiayai oleh dana Yayasan Akalbudi yang diasaskan oleh Ahmad Zahid.

Pengarah syarikat itu berkata, kedua-dua bangunan tersebut ialah Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Al-bab dan Masjid Terapung Salmah Khamis terletak di Durian Tunggal.

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh Raja Rozela, Jefri memberitahu, beliau pernah memberi pernyataan kepada SPRM pda 2018, namun tidak mengingati kandungannya.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan Presiden UMNO yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI