fbpx
Bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas disyaki menangkap ikan di perairan negara secara haram kira-kira 163.8 batu nautika dari Kuala Tok Bali, Pasir Puteh kelmarin. - FOTO/ IHSAN APMM KELANTAN

Lima nelayan Vietnam dicekup tangkap ikan secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan lima nelayan warga Vietnam semasa mereka menaiki sebuah bot dan menangkap ikan kira-kira 163.8 batu nautika dari Kuala Tok Bali di sini kelmarin.

Kapal Maritim (KM) Amanah yang melakukan Op Khas Naga Barat dan Ops Damai mengesan bot itu dalam keadaan mencurigakan pada jarak 3.5 batu nautika pada pukul 8.02 pagi.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, menyedari kehadiran Kapal Maritim, tekong bot cuba melarikan diri dan bertindak agresif dengan membuat pergerakan yang berbahaya.

Menurutnya, awak-awak bot itu juga melepaskan tali ke permukaan air untuk menghalang pergerakan kapal peronda.

“Selepas 42 minit mengejar, bot itu dapat ditahan. Pemeriksaan mendapati kesemua nelayan yang ditahan berusia 34 hingga 41 tahun.

“Tekong bot itu jug gagal menunjukkan dokumen kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syed Nor Adli, pemeriksaan turut mendapati tiada sebarang hasil tangkapan ikan di atas bot berkenaan dipercayai telah dipindahkan ke bot lain.

Keseluruhan rampasan termasuk bot, 1,000 liter diesel, peralatan menangkap ikan, peralatan komunikasi dan navigasi bernilai RM1.23 juta.

“Kelima-lima nelayan yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dibawa ke Pangkalan Operasi APMM Kelantan di Tok Bali pada pukul 12.15 tengah hari selepas menempuh perjalanan selama 28 jam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR