fbpx

Batu kristal muncul di bumi Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyelidik UMK menunjukkan batu kristal kuarza yang ditemukan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) di Ulu Cheka, Jerantut.

JERANTUT – Selain emas dan bauksit, bumi Pahang terbukti kaya dengan pelbagai galian berharga apabila batu kristal kuarza tanpa warna ‘muncul’ di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka di sini.

Penemuan batu kristal berkenaan adalah hasil program Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan yang dilakukan penyelidik daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di hutan berkenaan.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Elvaene James berkata, batu kristal kuarza tanpa warna yang ditemui itu bersaiz empat hingga 4.5 sentimeter dengan berat kira-kira 150 gram dan kelihatan menarik walaupun belum melalui proses pembersihan.

“Saya bersama tiga pelajar iaitu Shuhada Farhana Roslan, Nur Ain Wahidah Mohammad Razali dan Muhammad Aiman Fikri Mohd Sena seolah tidak percaya apabila menemui batu kristal berkenaan.

“Kami menemui batu kristal berkenaan di kawasan laluan enam yang terdapat laluan air dan banyak batu besar dan untuk sampai ke situ mengambil masa kira-kira sejam berjalan kaki.

“Saya tidak menolak kemungkinan kawasan Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka banyak terdapat batu kristal dan saiz batu di sini lebih besar berbanding batu kristal yang ditemui kawasan Lojing, Kelantan,” katanya.pada Majlis Penutup Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, seramai 30 penyelidik mengikuti Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Katanya peserta terdiri daripada pensyarah dan penuntut universiti termasuk pegawai agensi kerajaan yang melakukan kajian dalam bidang tumbuhan, haiwan, kualiti air, flora, mamaliar, sektor pelancongan, geologi dan serangga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI