SETIAP ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik buat anak-anak dalam segala aspek kehidupan, begitu juga dengan Suffia Hany Mohd. Amin.
Wanita berusia 47 tahun itu cukup menitikberatkan soal pendidikan anak-anaknya sejak peringkat awal persekolahan hingga mereka meningkat remaja.
Dia yang juga seorang doktor perubatan di Kota Damansara, Selangor sentiasa percaya, hanya ilmu mampu membawa anaknya ke gerbang kejayaan pada masa depan.
Justeru tidak hairanlah ibu kepada dua cahaya mata itu sanggup menghantar anak bongsu mereka, Muhammad Faris Farhan, 15, ke sekolah antarabangsa, Itqan Holistic School (Itqan), Petaling Jaya.
Suffia Hany tidak kisah untuk berhabis wang puluhan ribu ringgit setiap semester bagi memastikan anaknya itu mendapat ilmu terbaik yang ditawarkan di sekolah berkenaan.
“Sebagai ibu, saya sentiasa mahukan yang terbaik buat anak saya. Disebabkan itu, saya hantar anak saya ke Itqan yang bukan sahaja menekankan aspek pendidikan duniawi, malah keagamaan.
“Paling penting, waktu sekolah ini bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang. Jadi, senang bagi saya urus anak hantar dan ambil pulang,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Menurut Suffia Hany, salah satu kelebihan belajar di sekolah antarabangsa ialah anaknya mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik apabila bercampur gaul dengan rakan-rakan termasuk dari luar negara.
Dia memaklumkan, semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris selain guru sentiasa menekankan pendidikan secara santai tanpa memberi tekanan kepada pelajar.
Tambahnya, anaknya tidak perlu mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya diganti dengan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
“Anak saya akan ambil IGCSE pada tahun depan, jadi dia akan tamat sekolah menengah ketika usia 16 tahun. Selepas itu, saya merancang menghantar dia melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Kalau hendak sambung belajar di institusi pengajian tinggi tempatan agak sukar kerana tidak ada SPM. Saya difahamkan kalau pelajar Itqan, mereka boleh sambung ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai bayaran, Suffia Hany memaklumkan, dia berhabis kira-kira RM15,000 setahun merangkumi kos makanan, insurans, tempat penyimpanan barang serta kelas tambahan.
Kos tersebut pastinya berlipat kali ganda lebih mahal berbanding yuran setahun sekiranya menyambung pengajian di sekolah kebangsaan.

Justeru, apakah faktor utama yang mendorong segelintir ibu bapa terutama golongan elit menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa? Adakah untuk menunjuk kemewahan atau sebab-sebab lain yang tidak diketahui?
Penyelidik sekolah antarabangsa di Malaysia dan Asia Tenggara, Laletha Saba berkata, pasaran sekolah antarabangsa semakin berkembang di negara ini sekali gus memberi lebih pilihan kepada ekspatriat serta penduduk tempatan.
“Kajian ISC Research pada Januari 2020 menunjukkan terdapat 287 buah sekolah antarabangsa di negara ini dengan jumlah pelajar sekitar 107,100. Enam tahun lalu, negara hanya memiliki 96 buah sekolah antarabangsa.
“Ia berkembang sebanyak 43 peratus sepanjang tempoh berkenaan. Kebanyakan sekolah antarabangsa dibuka di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya ekoran peningkatan permintaan sekolah berharga sederhana,” katanya.
Menurut Laletha, semakin ramai keluarga di Malaysia memilih memasukkan anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa daripada peringkat awal kanak-kanak sehingga pendidikan menengah.
Katanya, salah satu faktor peningkatan jumlah pelajar di sekolah antarabangsa adalah ketidakpuasan hati ibu bapa terhadap perkhidmatan diberikan oleh sekolah harian biasa.
“Di sekolah antarabangsa, anak-anak berpeluang belajar dalam bahasa Inggeris, bersama anak ekspatriat dan diajar oleh guru dari luar negara yang mempunyai pengetahuan antarabangsa.
“Pelajar juga dapat mengikuti kurikulum antarabangsa yang sangat dihormati. Pelajar turut berpeluang menduduki peperiksaan bagi persediaan melanjutkan pelajaran ke luar negara serta potensi kerjaya global.
“Faktor lain yang mendorong peningkatan pelajar tempatan di sekolah antarabangsa adalah pemansuhan had kemasukan bagi membolehkan kerajaan mengawalnya sebelum ini. Ia telah dimansuhkan kerajaan pada tahun 2013,” katanya.
Laporan Perisikan Pasaran Sekolah Antarabangsa di Malaysia oleh ISC Research menunjukkan 45 peratus pelajar sekolah antarabangsa premium terdiri daripada warga tempatan diikuti ekspatriat British, Korea Selatan dan China.
Kurikulum asing paling banyak dipraktikkan oleh sekolah antarabangsa di negara ini ialah Menengah Cambridge atau Kurikulum Kebangsaan England. Peperiksaan paling popular pula adalah A Level dan Diploma IB.
Menariknya, kebanyakan sekolah antarabangsa di negara ini menawarkan pembelajaran bahasa kedua yang terdiri daripada Mandarin, Perancis, Korea dan Sepanyol selain masa pembelajaran yang fleksibel.
Malaysia juga mempunyai beberapa sekolah antarabangsa Apple Distinguished School yang ditentukan jenama peranti terkemuka, Apple sebagai pusat kecemerlangan pendidikan inovatif) seperti The International School @ ParkCity dan Garden International School di Kuala Lumpur.

Untuk makluman, yuran sekolah antarabangsa di negara ini adalah berbeza-beza mengikut jumlah tenaga pengajar dari seberang laut.
Kebanyakan sekolah antarabangsa berharga premium menggunakan tenaga pengajar dari Britain sebanyak (42.6 peratus), Amerika Utara (3.9 peratus) diikuti Australia dan New Zealand (9 peratus) dan selebihnya warga tempatan.
Berbeza dengan sekolah antarabangsa berharga sederhana, lebih separuh daripada gurunya terdiri daripada warga tempatan iaitu 54.7 peratus diikuti Britain (26 peratus) dan selebihnya lain-lain negara.
Laletha berkata, beberapa sekolah telah menganjurkan program melatih guru tempatan bekerjasama dengan guru ekspatriat bagi mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka terhadap kurikulum antarabangsa.
“Guru ekspatriat menawarkan pengalaman luas dalam kurikulum antarabangsa serta pendekatan pembelajaran berbeza. Jadi, tidak hairanlah gaji mereka lebih tinggi berbanding guru tempatan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengetua Kolej Tuanku Ja’afar (KTJ), Mantin, Negeri Sembilan, Glenn Moodie berkata, penting bagi sekolah antarabangsa memberi tumpuan kepada akademik dan kesihatan mental kanak-kanak.
Ditubuhkan pada tahun 1991, ia merupakan antara sekolah antarabangsa terawal di Malaysia yang menyediakan pendidikan harian dan asrama berkualiti tinggi untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 19 tahun.
“Kanak-kanak pada hari ini pastinya lebih tertekan dengan pengajian berasaskan akademik berbanding generasi sebelumnya. KTJ menangani isu ini dengan memastikan keperluan akademik dan mental pelajar sentiasa dijaga.
“Kami ada lakukan program pelajar dengan mentor (guru) serta memupuk persekitaran keterbukaan dan perkongsian mengenai kesihatan mental. Sesungguhnya strategi pendidikan ini telah terbukti keberkesanannya berulang kali.
“Hampir separuh graduan KTJ telah melanjutkan pelajaran di universiti berprestij di seluruh dunia termasuk Cambridge, University College London, dan University of Toronto,” katanya.













