fbpx
Shahrul Nizam (kiri) memiliki pengalaman yang luas dalam perkhidmatan pengurusan harta selain disokong oleh perundingnya yang komited untuk membantu masyarakat di seluruh negara.

Harta Muslim bantu masyarakat rancang harta pada usia muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Melengkapi kehidupan dengan pelbagai harta seperti rumah, kereta wang simpanan dan takaful adalah satu keperluan buat semua orang. Namun, dalam ketaksuban menambah lebih banyak aset, ramai alpa dan lalai mendapatkan khidmat menguruskan harta untuk ditinggalkan kepada waris selepas meninggal dunia.

Faktor ‘pantang’ bercakap soal mati dan harta pusaka serta masyarakat kini berada dalam zon selesa adalah antara penyebab nilai harta pusaka yang masih dalam proses tuntutan atau masih belum dituntut kerana pelbagai faktor telah bertambah kepada kira-kira RM90 bilion.

Bersandarkan kepada kekangan tersebut, Harta Muslim Sdn. Bhd. (Harta Muslim) yang mula beroperasi tahun 2020 dan beribu pejabat di Kepala Batas, Pulau Pinang itu kini semakin aktif meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perancangan harta malah menawarkan harga yuran pada kadar mampu milik untuk membantu masyarakat.

Melalui pengalaman dan sokongan daripada perundingnya di seluruh negara, syarikat kini berada dalam landasan kukuh untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik berasaskan nilai aset yang diuruskan telah mencecah kepada RM20 juta.

“Bayangkan jika kita meninggal dunia dan atas kesilapan yang dilakukan kerana tidak membuat perancangan harta, ia akan menyusahkan waris yang tinggal.

“Kita selalu salahkan hukum faraid atau hanya berharap pada hukum faraid tetapi pastinya ada pihak perlu menggerakkan kaedah tersebut.

Disebabkan itu, banyak kes harta pusaka tidak dapat diselesaikan kerana sikap kita sendiri,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Harta Muslim, Shahrul Nizam Sabri dalam satu temu bual bersama Kosmo! di sini baru-baru ini.

KOSMO!: Bagaimana keseda­ran dan sambutan masyarakat terhadap urusan perancangan harta?
Shahrul Nizam: Kesedaran terhadap pengurusan harta pusaka semakin meningkat tetapi ramai juga yang masih bersikap ambil mudah untuk membuat persediaan awal sebelum mati (khususnya merancang menuliswasiat atau pengurusan harta).

Disebabkan itu, nilai harta pusaka yang masih belum dituntut oleh waris kini telah mencecah lebih daripada RM90 bilion yang mana 80 peratus da­ripadanya terdiri daripada harta milik orang Islam.

Apa faktor penyebab masih ramai yang tidak membuat perancangan harta pusaka?
Orang sekarang berada dalam zon selesa dan menjadi satu kepantangan bagi orang Melayu untuk memikirkan tentang harta pusaka kerana masyarakat terlalu bergantung kepada hukum faraid sedangkan ia memerlukan satu pihak lain untuk menggerakkan kaedah tersebut.

Selain itu, ia juga dipandang remeh kerana kita menganggap kita tidak memiliki harta untuk diisytiharkan sedangkan apabila disenarai satu per satu bermula dengan sebuah kereta, rumah, wang tunai dan lain-lain, ternyata individu itu memiliki harta yang bernilai.

Ia sebenarnya satu kerugian buat mana-mana individu (yang tidak merancang harta) kerana akan memberi masalah berpanjangan kepada waris yang masih hidup.

Ada juga salah anggap masyarakat tentang pembe­lian rumah yang melibatkan dua nama, sebagai contoh suami dan isteri, daripada apa yang mereka fikirkan apabila salah seorang meninggal dunia maka secara automatik, harta itu akan menjadi hak kepada yang masih hidup.

Tetapi sebenarnya, ia perlu dibahagi secara faraid. Ia bukan satu proses yang singkat kerana perlu melalui proses pentadbiran pe­ngurusan harta yang mungkin akan mengambil masa bergantung kepada pelbagai faktor.

Bilakah seseorang itu perlu membuat perancangan harta?
Kita patut membuat perancangan awal sebaik sahaja sudah memiliki aset, contohnya membeli rumah atas nama sendiri. Jadi tidak kiralah pada usia mana­ pun tetapi lagi elok jika ia dibuat pada usia muda.

Kita tak perlu tunggu bila dah tua baru nak fikir untuk cari orang lain atau syarikat untuk uruskan harta.

Disebabkan itu, kami di Harta Muslim sentiasa aktif memberi penerangan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang pentingnya memulakan usaha untuk menguruskan harta kerana yurannya berpatutan.

Apa akan jadi selepas kematian seseorang yang tidak membuat pengurusan harta?
Apabila kita sudah meninggal dunia, segala harta akan dibekukan untuk bagi laluan proses pengurusan harta pusaka dan ia akan mengambil masa beberapa tahun, ada kes yang melibatkan tempoh sehingga 10 tahun dan ada juga sehingga 20 tahun baru selesai.

Apabila harta dibekukan ia sekali gus akan menyusahkan waris kerana kehidupan perlu diteruskan tetapi harta yang ada tidak boleh digunakan termasuk duit di dalam akaun bank selainhutang pula perlu dilangsaikan.

Berbanding simpanan dalam Tabung Haji, produk pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputera, caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan juga taka­ful, ia telah memiliki penama dan ini akan memudahkan urusan waris.

Apakah pelan perancangan Harta Muslim untuk membantu lebih ramai masyarakat terhadap pentingnya perkhidmatan merancang harta?
Kami telah menjalankan kerjasama dengan lebih daripada 10 syarikat dan persatuan untuk tujuan tersebut.

Sebagai contoh, kami telah bekerjasama dengan pemaju hartanah untuk memberi kesedaran kepada pemilik rumah membuat perancangan harta agar memudahkan waris nanti.

Sekiranya mana-mana individu telah membuat pengurusan harta, ia akan memudah dan memendekkan lagi proses tuntutan kerana dari awal lagi segala dokumen berkaitan telah disediakan termasuk melantik pentadbir dan juga penjaga amanah harta.

Berapa ramai perunding syarikat dan apakah perkhidmatan yang ditawarkan?
Kami menggunakan per­khidmatan perunding yang mana kini telah bertambah kepada 50 orang di seluruh negeri tetapi kami memiliki ramai perun­ding di bahagian Utara dan di Lembah Klang.

Mereka sedia menawarkan perkhidmatan di mana sahaja dan boleh berkunjung ke rumah pelanggan meskipun pada hari cuti.

Selain perkhidmatan pengurusan harta pusaka, kami juga menawarkan perkhidmatan penulisan wasiat, deklarasi hibah dan harta sepencarian serta kaunseling. Sebenarnya setiap individu memiliki objektif me­rancang harta berbeza antara satu sama lain, jadi mereka perlu mendapatkan nasihat daripada perunding agar niat mereka dapat disempurnakan nanti.

Mungkin ada dalam kalangan pelanggan yang mahu membuat sedekah jariah atau hibah, maka perunding perlu berjumpa serta mendapatkan persetujuan selain menyediakan dokumen penting seperti geran dan dokumen lain berdasarkan jumlah aset sedia ada. -KOSMO! ONLINE

POPULAR