fbpx
Pam minyak rosak akibat dirempuh Mercedes berkenaan dalam kejadian di LDP, awal pagi tadi. - FOTO IHSAN BOMBA

Mercedes rempuh pam minyak, pemandu ‘lesap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kenderaan mewah jenis Mercedes-Benz AMG C-Class (C43) dipercayai melarikan diri selepas merempuh pam di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) di sini, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 12.13 tengah malam.

“Seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta merempuh pam minyak di stesen berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu tiada di dalam kereta terbabit semasa pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, berlaku tumpahan petrol susulan kemalangan itu.

“Pasukan bomba bertindak membersihkan minyak berkenaan untuk mengelak daripada terjadinya kejadian yang tidak diingini.

“Operasi pembersihan tamat sepenuhnya pada pukul 12.49 tengah malam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR