TUMPAT – Anak tunggal ejen kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki di hadapan rumah mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu di sini pada Selasa lalu masih trauma dengan kejadian yang menimpa ibunya.
Adik lelaki mangsa yang enggan dikenali berkata, anak saudaranya yang berusia 13 tahun kerap menangis apabila mengenangkan semula kejadian menimpa ibunya dikenali sebagai Azi yang diheret sebelum dimasukkan ke dalam kereta.
Menurutnya, emosi remaja perempuan itu juga terganggu sejak kejadian tersebut apabila merindui ibunya yang sehingga kini masih belum ada sebarang khabar berita biarpun sudah empat hari berlaku.
“Kakak (panggilan kepada anak saudara) merindui ibunya (Azi). Tiada apa yang boleh digambarkan apabila seorang anak melihat ibunya dibawa lari dalam sekelip mata.
“Dia akan menghubungi dan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada saya setiap hari untuk bertanyakan sama ada ibunya sudah ditemui atau tidak.
“Paling membimbangkan apabila dia (anak saudara) membaca berita atau maklumat tidak benar tentang ibunya di dalam media sosial. Keadaan itu pasti membuatkan dia bertambah sedih,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Semat Jal semalam.
Lelaki itu memberitahu, komen-komen yang ditinggalkan netizen di dalam media sosial ternyata menjejaskan emosi anak saudaranya ketika ini.
Jelasnya, anak saudaranya itu kini ditempatkan di satu lokasi lain bagi menjamin keselamatannya supaya tidak menjadi sasaran individu yang tidak bertanggungjawab.
“Kami sudah meminta bantuan pihak polis untuk nyah aktif akaun Facebook kakak kerana terdapat banyak komen-komen berbaur lucah ditinggalkan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, tiada apa yang diharapkan daripada seorang ibu selain berdoa semoga anak perempuannya selamat selepas dilarikan tiga lelaki di Kampung Semat Jal pada pukul 5.10 petang, Selasa lalu.
Zahasnah Mohd. Zain, 61, memaklumkan sehingga kini ahli keluarganya masih belum menerima sebarang panggilan telefon daripada mana-mana pihak yang didakwa terlibat dalam kejadian menculik anaknya.
Kejadian itu benar-benar mengejutkan seluruh ahli keluarga Zahasnah memandangkan anaknya tidak mempunyai masalah dengan pihak lain.
Siasatan polis mendapati perselisihan faham antara suami wanita itu dengan ahli sindiket dadah disyaki menjadi punca mangsa diculik. -KOSMO! ONLINE














