fbpx

Program Pertanian Bandar terjemah agenda pembangunan mampan, sekuriti makanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SM. Jefri memetik hasil tanaman di Kebun Komuniti 3 Presint 9, Putrajaya Foto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

PUTRAJAYA- Pelaksanaan Program Pertanian Bandar Wilayah Persekutuan (PPBWP) bukan sahaja berperanan bagi memperkasakan komuniti dengan memanfaatkan kegunaan tanah, tetapi turut menterjemahkan aspirasi kerajaan dalam membangunkan agenda pembangunan mampan dan sekuriti makanan negara.

Dalam konteks ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) terus berusaha membantu mengurangkan kos sara hidup penduduk bandar di Wilayah Persekutuan dengan penghasilan makanan sendiri seterusnya menyokong agenda kerajaan dalam pembangunan mampan dan memastikan rantaian makanan negara terus terjamin.

Berkongsi pandangan, seorang peserta PPBWP dari Kebun Komuniti 3, Presint 9, Putrajaya, SM. Jefri Ahmad, 56, berkata, kumpulannya dianggotai lebih 15 orang ahli mula mengerjakan kawasan terbiar di kawasan rumah mereka untuk dijadikan kebun komuniti sejak tahun 2018.

SM. Jefri meninjau tanaman jagung di Kebun Komuniti 3 Presint 9 Wilayah Persekutuan Putrajaya
Foto – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Katanya, ketika itu, keadaan kebun sedia ada disifatkan sebagai tidak terurus dan pasukannya bekerjasama membersihkan kawasan tersebut untuk ditanam dengan pelbagai jenis tumbuhan termasuk sayur-sayuran.

“Selepas kebun mula membuahkan hasil memberangsangkan dengan tanaman seperti sawi, kucai, bayam, kunyit dan sebagainya, pada tahun 2019, kami mengambil inisiatif untuk memulakan projek penanaman ‘rock melon’ di mana ia merupakan antara tarikan utama di sini.

“Alhamdulillah, dengan bantuan semua pihak terlibat terutama KWP, PPj, Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), projek ‘rock melon’ disifatkan sebagai berjaya dan kami kini dalam proses memasuki musim ke-11 untuk menanam buah berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut SM. Jefri, pelaksanaan PPBWP bukan sahaja membolehkan peserta berbakti kepada tanah, malah turut berupaya memberikan kembali manfaat diperoleh menerusi projek berkenaan kepada komuniti setempat.

“Inilah dia kelebihan PPBWP di mana hasil yang kami tuai akan dikongsi bersama komuniti seterusnya membolehkan mereka membeli sayur-sayuran segar dengan harga murah dan sangat berpatutan.

“Secara kebiasaan, hasil sayur-sayuran ditawarkan kepada penduduk dengan harga serendah RM2 seikat dan mereka boleh datang ke kebun untuk membelinya. Saiz sayuran itu sesuai dimasak untuk lima hingga enam orang,” katanya.

Selain itu, seorang lagi peserta, Sazali Shamsuddin, 64, menjelaskan, kewujudan PPBWP berjaya mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan penduduk selepas tanaman membuahkan hasil dan dapat dijual kepada penduduk setempat dan pasaran luar.

Sazali ketika memotong terung yang ditanam di Kebun Komuniti Pudina, Presint 17, Putrajaya
Foto – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

“Di Kebun Komuniti Bandar Pudina (KKB Pudina), Presint 17, kami memfokuskan kepada tanaman terung dan mampu menghasilkan pengeluaran sekitar 30 kilogram seminggu menerusi penanaman 150 pokok.

“Hasil terung itu kami tawarkan kepada penduduk dengan harga berpatutan dan cara itu pada masa sama turut mengeratkan hubungan silaturahim memandangkan ramai yang baru berpindah ke perumahan tersebut,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Sazali berkata, pihaknya juga merancang untuk menghasilkan beberapa produk sampingan lain daripada hasil pertanian itu seperti produk hiliran antaranya kerepek terung bagi menambahkan pendapatan mereka.

Hasil terung juga akan dijadikan produk hiliran seperti kerepek bagi meningkatkan pendapatan peserta FOTO- FAIZ ALIF ZUBIR

“Ketika ini, semuanya masih dalam perancangan dan kami jangkakan bakal mengeluarkan produk itu dalam masa terdekat dan menjualnya dengan harga mampu milik. Itu cara kami berkongsi manfaat dengan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, KKB Pudina turut mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi Laman Kreatif menerusi Anugerah Bazar Kebun Komuniti yang diadakan baru-baru ini.

Seorang lagi peserta PPBWP dari Labuan, Rosmani Puteh, 48, berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan atas sokongan diberikan dalam membantu peserta membangunkan kebun komuniti.

“Dengan bantuan diberikan, kami berjaya melaksanakan projek cendawan tiram selain beberapa sayuran lain seperti kacang panjang, kangkung dan bayam yang akan memanfaatkan penduduk setempat.

“Buat masa ini, kami menggunakan kira-kira 3,000 bongkah cendawan sahaja dan masih dalam proses mengumpul dana untuk memenuhi rumah cendawan yang mampu memuatkan sehingga 7,000 bongkah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

PPBWP mula dilaksanakan pada tahun 2006 sebagai salah satu program di bawah Program Mampan Sejahtera Wilayah Persekutuan yang dilaksanakan oleh PPj, DBKL dan PL serta serta jaringan kerjasama oleh pelbagai pihak seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan banyak lagi.

Pelaksanaan program ini dilihat dapat menyokong dan mencapai matlamat pembangunan mampan iaitu Sustainable Development Goal (SDG) terutama di dalam SDG 2, 3, 4, 11, 13 dan 17 di samping membolehkan dasar serta aspirasi negara dicapai dengan jayanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI