fbpx

Novak Djokovic mungkin lepas masuk Australia tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DJOKOVIC berpeluang untuk membatalkan larangan kemasukan ke Australia sekiranya dia membuat rayuan kepada kerajaan negara itu. – AFP

MELBOURNE – Harapan Novak Djokovic untuk bersaing dalam kejohanan bertaraf Grand Slam Terbuka Australia pada tahun depan nampak cerah selepas kerajaan negara itu bersedia untuk membatalkan senarai hitam yang dikenakan ke atas bekas pemain No. 1 dunia itu.

Sebagai rekod, Djokovic te­lah mencipta sensasi tersendiri awal tahun ini apabila hadir ke Melbourne untuk menyertai Terbuka Australia kerana memiliki alasan untuk tidak mengambil vaksin Covid-19 sebelum ‘dihalau’ selepas rayuannya ditolak mahkamah.

Situasi tersebut menyaksikan Djokovic sepatutnya diharamkan daripada masuk ke Australia untuk tempoh tiga tahun sehingga 2025, tetapi keputusan tersebut dijangka ditarik balik oleh pihak kerajaan dalam masa terdekat.

Ia apabila Australia kini memiliki Menteri Imigrasi yang baharu, Andrew Giles selepas Pilihan Raya Umum dilakukan pada Mei lepas dan kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menolong Djokovic andai dia membuat ra­yuan dalam masa terdekat.

Djokovic sebelum ini dianggap sebagai salah seorang atlet tenis terbaik sepanjang zaman selepas menjuarai 21 kejuaraan bertaraf Grand Slam dalam kariernya dan berhasrat untuk memintas rekod pemain sensasi Sepanyol, Rafael Nadal yang meraih 22 gelaran.

Atlet kelahiran Serbia berusia 35 tahun itu dibenarkan untuk menyertai kejohanan Terbuka Perancis pada Mei lepas sebelum berjaya menjuarai trofi Kejua­raan Wimbledon pada Julai.

Namun, Djokovic tidak dibenarkan untuk bersaing pada Terbuka AS bulan lalu kerana arahan kerajaan yang masih mengharam­kan individu tidak mengambil vaksin Covid-19 untuk memasuki negara itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI