fbpx

Mahkamah: Keputusan Shafee bebas atau bela diri 28 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Shafee ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. FOTO/ FAIZ ALIF

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Oktober ini sama ada Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap dua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berhubung penerimaan wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam terkemuka itu turut dibicarakan terhadap dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penghujahan lisan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Hakim berkenaan memaklumkan, beliau perlu meneliti penghujahan lisan dan penghujahan bertulis melebihi 500 muka surat yang difailkan oleh kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan pada akhir kes pendakwan.

Pada 12 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil saksi kelapan yang juga saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar.

Kes itu mula dibicarakan pada 21 Mei 2021 selepas dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Muhammad Shafee didakwa pada 13 September 2018.

Tertuduh didakwa terhadap dua tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul.

Penyata itu bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI