fbpx

Mahkamah: Tekanan darah tidak stabil, Najib akan dirujuk ke IJN – Shafee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) ekoran tekanan darahnya tidak stabil.

Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, bekas Perdana Menteri kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam selepas tekanan darahnya tidak menentu tanpa diketahui punca.

Peguam bela berkata, beliau dimaklumkan bahawa kemungkinan anak guamnya perlu menjalani ujian tertentu selama beberapa hari yang tidak memungkinkan perbicaraan hari ini dan esok, dijalankan.

Ujar Muhammad Shafee, besar kemungkinan Najib akan dirujuk ke IJN bagi menentukan punca yang menyebabkan tekanan darahnya turun naik secara tidak stabil.

Sehubungan itu, beliau memohon perbicaraan hari ini ditangguhkan hingga esok bagi mendapat maklum balas berhubung tahap kesihatan Najib.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P. Kunyalam tidak membantah penangguhan kes.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan esok bagi membolehkan mahkamah mengetahui perkembangan kesihatannya.

Ketika ditemui pihak media selepas prosiding ditangguhkan, Muhammad Shafee memaklumkan Najib akan dirujuk ke IJN hari ini.

Terdahulu, Muhammad Shafee menarik perhatian mahkamah bahawa beliau perlu mendapat arahan daripada Najib secara langsung meskipun tiada pihak dibenarkan melawat beliau pada peringkat ini.

Muhammad Shafee menegaskan, selaku peguam bela, beliau mempunyai hak untuk mendapat arahan langsung daripada anak guamnya kerana beliau bertanggungjawab memberi maklum kepada mahkamah.

Hakim Collin kemudian meminta kepastian sama ada peguam bela mahukan arahan daripada mahkamah untuk bertemu Najib.

Muhammad Shafee bagaimanapun menyatakan tindakan itu hanya akan meletakkan Hakim Collin dalam keadaan `janggal’.

“Saya menyatakan bahawa selaku peguam bela saya perlu mendapatkan arahan langsung daripada anak guam untuk memberitahu perkembangan beliau kepada mahkamah,” ujarnya.

Perbicaraan kes Najib yang dijadualkan hingga Khamis turut ditangguhkan semalam selepas mahkamah diberitahu, Najib perlu dirujuk ke Hospital Kajang dekat sini bagi menerima rawatan ekoran keadaan kesihatannya yang agak teruk.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pegawai penjara memaklumkan kepadanya bahawa ubat tekanan darah tinggi yang diambil oleh bekas Perdana Menteri ditukar sehingga memberi kesan kepada tahap kesihatannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI