fbpx

Suri rumah boleh mencarum lebih satu skim perlindungan Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Golongan suri rumah digalakkan berdaftar di bawah SKSSR. FOTO MOHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Golongan suri rumah boleh membuat caruman lebih daripada satu skim perlindungan yang disediakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, sekiranya seorang suri rumah itu bekerja dan telah berdaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), dia masih boleh mendapatkan perlindungan tambahan.

Katanya, faedah yang disediakan di bawah Akta 4 dan Akta 800 itu tidak boleh dituntut oleh pencarum di luar waktu bekerja kerana ia hanya memberi manfaat kepada pekerja sepanjang tempoh bekerja sahaja.

“Contohnya seorang suri rumah itu dia bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, dan selepas itu dia melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan, sekiranya berlaku kemalangan, Perkeso tak beri pampasan.

“Tetapi kalau suri rumah tersebut membuat caruman tambahan dengan mendaftar Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), dia layak mendapat faedah perlindungan insurans yang disediakan.

“SKSPS menyediakan faedah tunai kepada orang berinsurans bekerja sendiri dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional,” katanya ketika menjawab soalan pemberita di Menara Perkeso di sini hari ini.

Mengulas mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), Mohammed Azman menyeru golongan wanita temasuklah yang bekerja untuk mencarum di bawah skim tersebut.

“Pada peringkat awal, seramai 150,000 suri rumah yang berdaftar di bawah e-Kasih adalah layak untuk menerima faedah SKSSR ini yang akan dibayar oleh kerajaan.

“Namun, bermula Disember nanti, golongan wanita, sama ada suri rumah sepenuh masa atau separuh masa yang berkahwin atau belum berkahwin, janda atau balu dan ibu tunggal warga Malaysia dan pemastautin tetap layak dilindungi oleh SKSSR,” katanya.

Jelasnya lagi, skim ini adalah secara sukarela dan tidak diwajibkan ke atas mana-mana individu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI