WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Joe Biden telah meluluskan program pengekalan jet pejuang F-16 ke Lahore, Pakistan yang bernilai AS$450 juta (RM2 bilion), lapor laman berita Wion News semalam.
Ini merupakan bantuan keselamatan pertama dari Amerika Syarikat (AS) yang disalurkan ke Pakistan sejak 2018.
Menurut Jabatan Negara AS, program itu akan mengekalkan keupayaan Islamabad untuk menghadapi ancaman keganasan semasa dan masa depan.
”Pakistan adalah rakan kongsi antikeganasan yang penting dan pakej bantuan ini adalah sebagai sebahagian daripada dasar yang telah lama wujud.
“Washington menyediakan pakej penyelenggaraan dan pengekalan kitaran hayat untuk platform asal AS menentang keganasan,” demikian menurut kenyataan Jabatan Negara.
Tambah Pentagon, Lockheed Martin Corp akan bertindak sebagai kontraktor utama penjualan bekalan senjata dan ia akan membantu Pakistan menentang ancaman keganasan.
Pada 2018, bekas presiden Donald Trump telah menghentikan semua bentuk bantuan pertahanan dan keselamatan kepada Pakistan selepas mendakwa Islamabad bukan rakan kongsi dalam memerangi keganasan. – Agensi














