fbpx

Mahkamah: Najib tarik balik saman terhadap kerajaan, Tommy Thomas diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik samannya terhadap Kerajaan Malaysia berhubung dakwaan secara salah yang mendakwanya dalam beberapa kes jenayah termasuk kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib pada pendengaran permohonan kes saman di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache.

Notis Pemberhentian ini difailkan oleh Tetuan Raj, Ong & Yudistra, peguamcara Najib selaku plaintif semalam.

Menerusi notis itu, Najib sepenuhnya menggugurkan tindakan saman terhadap defendan kedua, Kerajaan Malaysia dengan tiada perintah mengenai kos.

Terdahulu semasa prosiding, ketika ditanya oleh Hakim Ahmad mengenai kesan penarikan balik saman berkenaan terhadap kerajaan, peguam Alan Gomez yang mewakili bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, berkata, walaupun kerajaan bukan lagi pihak kepada saman itu, ia masih disifatkan bertanggungjawab secara vikarius (bertanggungjawab secara wakil).

“Terpulang kepada plaintif untuk menarik tuntutan samannya terhadap mana-mana pihak,” kata Alan Gomez.

Meskipun Najib menarik balik saman itu terhadap kerajaan, tuntutan saman sama yang difailkan terhadap Tommy kerana menyalahgunakan kuasa dengan mendakwanya  secara salah masih lagi diteruskan.

Justeru dengan perkembangan terbaharu itu, Tommy kini adalah defendan tunggal dalam kes saman berkenaan.

Pada 22 Oktober tahun lalu, Najib selaku plaintif memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM1.9 juta kerana mendakwa Tommy dan kerajaan menyalahgunakan kuasa dengan mengemukakan pendakwaan terhadapnya dalam beberapa kes termasuk kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib berkata, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang sudah dirancang lebih awal oleh Thomas selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Menurut Najib, pada tahun 2015, Tommy berjumpa Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadapnya (Najib) berhubung pembabitan dalam syarikat pelaburan negara itu.

Bekas Perdana Menteri dengan itu menuntut bahawa Tommy melakukan salah laku dalam jawatan awam dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta, termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah sama
memutuskan dua peguam dari Tetuan Tommy Thomas boleh mewakili bekas Peguam Negara itu dalam tuntutan saman itu yang dikemukakan Najib.

Pendengaran kes saman itu bersambung lagi petang ini.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI