fbpx

Dua kapal ‘keras kepala’ bersauh secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA buah kapal kargo asing ditahan selepas bersauh tanpa kebenaran di Perairan Johor Timur, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Tindakan ‘keras kepala’ dua buah kapal kargo bersauh tanpa kebenaran mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili di perairan Johor Timur semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, kapal kargo pertama berdaftar dari Vietnam ditahan pada pukul 12.40 tengah hari.

Jelasnya, kapal berkenaan ditahan di kedudukan 17.3 batu nautika (bn) timur laut Tanjung Penawar.

“Kapal ini dikendalikan 20 orang kru lelaki termasuk nakhoda berumur lingkungan 25 hingga 43 tahun kesemuanya warga Vietnam.

“Manakala kapal kedua berdaftar dari Monrovia, Liberia yang dikendalikan 24 orang kru lelaki termasuk nakhoda kesemuanya warga Filipina berusia di antara 24 hingga 62 tahun ditahan pada pukul 5.45 petang di kedudukan 16.9 bn timur Tanjung Sedili Kechil,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Najib berkata, pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati kedua-dua nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

Tegasnya, kapal seterusnya ditahan dan nakhoda beserta seorang kru setiap kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Penahanan pada petang semalam merupakan penahanan keenam atas kesalahan yang sama iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia sejak 1 September lalu.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI