fbpx

Dua wakil negara sedia beri saingan sengit kejohanan kanu antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESERTA memulakan persaingan dalam acara kanu antarabangsa-Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC) di Pantai Hiburan dekat Rompin hari ini.

ROMPIN – Meskipun terpaksa bersaing dengan lima juara dunia tidak melunturkan semangat dua wakil negara yang akan bersaing dalam kejohanan kanu antarabangsa, Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC) yang membuka tirai di Pantai Hiburan Rompin hari ini.

Mohd Shukri Sulaiman,43, dan Sharifah Ruqayyah Syed Hamzah,17, yang masing-masing bertanding dalam kategori antarabangsa lelaki dan wanita menjadi tumpuan sebagai peserta negara yang bersaing dalam kejohanan antarabangsa itu.

Mohd Shukri mengakui berhadapan dengan nama-nama besar dalam sukan kanu itu bukanlah mudah, namun tetap menjanjikan saingan sengit dengan sandaran berada dalam tempat 10 terbaik daripada keseluruhan 180 peserta.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang pernah mendapat tempat pertama dalam Kejohanan International Kayak Festival di Indonesia pada 2019 tekad melakukan yang terbaik dalam acara Lelaki Antarabangsa POPIC 2022.

“Ini kali pertama saya bertanding dalam saingan kanu antarabangsa dan semangat saya berkobar-kobar kerana dapat bersaing dengan beberapa peserta ternama dari luar negara, apatah lagi mereka hadir dengan reputasi yang cukup tinggi selaku juara dunia.

“Secara peribadi, saya meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dalam setiap peringkat walaupun sedar persaingan sengit dan perlu mengekalkan stamina untuk kekal kompetitif dalam mengharungi lima peringkat nanti,”katanya yang telah 20 tahun terlibat dalam aktiviti kayak.

Sementara itu, Sharifah Ruqayyah yang berasal dari Jerantut berkata, dia cukup teruja dapat berdepan dengan beberapa pendayung pilihan khususnya dua bekas juara dunia, Daniele Mackenzie dari New Zealand dan Julie Jenkinson dari Australia.

Katanya, meskipun berasa berdebar untuk bersaing dengan jaguh dunia dia tidak sabar untuk meneruskan kejohanan dan membuktikan kemampuan diri bersaing demi negara.

“Ini saat yang sememangnya saya tunggu-tunggu apabila dapat bersaing dengan jaguh dunia seperti Daniele dan Julie. Mereka antara nama yang cukup besar dalam sukan kanu dan ini sudah semestinya menjadi pengalaman baharu bagi saya.

“Paling utama, saya mahu menjadikan kejohanan ini sebagai persiapan terbaik sebelum beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) tidak lama lagi apabila mewakili Pahang dan semoga mendapat sesuatu yang positif daripada kejohanan ini,”ujarnya.

Kejohanan kanu antarabangsa, POPIC 2022 yang menawarkan ganjaran wang tunai keseluruhan berjumlah RM300,000 membuka tirai di Pantai Hiburan di sini hari ini sebelum diteruskan dalam lima peringkat melibatkan beberapa lagi pantai di Pekan dan Kuantan berakhir 11 September ini.

Antara nama besar yang menyertai kejohanan itu ialah juara dunia dua kali Rob Jenkinson dan isterinya Julie Jenkinson yang merupakan juara dunia empat kali.

Namun pasangan suami isteri dari Australia itu pastinya akan menerima cabaran hebat dalam persaingan merebut gelaran juara kerana disaingi oleh rakan senegara MacKenzie Hynard, 28, yang merupakan bekas naib juara bawah 23 dunia serta Daniele MacKenzie dari New Zealand yang muncul juara dunia pada 2019.

Selain itu juara dunia 2009, 2010, 2011, 2012 Dawid Mocke dari Afrika Selatan dijangka turut memberikan saingan hebat dalam merebut kejohanan berprestij itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI