fbpx

Penjawat awam luar negara kuasai bahasa asing terima kenaikan elaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri berucap merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia ke-9 (HOMC9) di Kementerian Luar Negeri di sini tadi. - FOTO- FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

PUTRAJAYA – Penjawat awam berkhidmat di luar negara yang menguasai dan menggunakan bahasa asing dalam menjalankan tugas rasmi mereka akan menerima kenaikan elaun bulanan berkuatkuasa 1 Januari 2023.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 di Wisma Putra di sini tadi yang turut menggalakan diplomat Malaysia menguasai bahasa asing dalam rundingan diplomatik serta perdagangan dengan negara lain.

Perdana Menteri berkata, perwakilan diplomatik juga diseru untuk menerapkan pendekatan lebih kreatif dalam usaha menarik kembali kemasukan pelabur asing ke Malaysia.

“Kita juga harus cakna dalam meneroka serta menarik pelaburan daripada negara-negara baharu terutamanya apabila dunia sedang rancak mencari destinasi pelaburan stabil di era pasca pandemik.

“Pada masa yang sama, saudara dan saudari perlu turut memberi fokus kepada pembukaan peluang pasaran kepada produk-produk eksport Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, perwakilan diplomatik juga perlu memberi perhatian kepada beberapa bidang tertentu seperti perdagangan, pendidikan dan pertanian ke arah memastikan Malaysia di landasan tepat serta tidak ketinggalan dalam perkembangan global.

“Selain itu, saya juga menyeru seluruh Keluarga Malaysia agar memberikan komitmen melaksanakan usaha memartabatkan Bahasa Melayu dan membuktikan bahasa ibunda kita tidak mengekang kemajuan negara.

“Usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia merupakan dasar kerajaan dan salah satu fokus di dalam Kerangka Dasar Luar Negeri iaitu Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan,” jelasnya.

Ismail Sabri menambah, beliau telah mengarahkan semua urusan surat menyurat menggunakan Bahasa Melayu termasuk melibatkan urusan luar negara.

“Saya sendiri telah mengutus surat kepada pemimpin dunia yang ditulis dalam Bahasa Melayu dengan disertakan terjemahan Bahasa Inggeris. Begitu juga penggunaan Bahasa Melayu sewaktu penyertaan saya dalam pelbagai mesyuarat antarabangsa lain.

“Jadi, kerajaan menggalakkan diplomat kita untuk menguasai bahasa asing selaras dengan keperluan menjalankan urusan rundingan diplomatik dan perdagangan dengan negara lain,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI