fbpx

Pelajar lelaki 13 tahun maut kereta bertembung pacuan empat roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN nahas membabitkan dua buah kereta di Kilometer 59.5, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Tanah Merah, Lubok Merbau di Padang Rengas semalam. FOTO APM PERAK

PADANG RENGAS – Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun maut setelah kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara di Kilometer 59.5, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Tanah Merah, Lubok Merbau di sini semalam.

Nahas pada pukul 12.25 tengah hari itu mengorbankan Muhammad Amir Asyraf Othman Jaludin dari Kampung Padang Stang, Gerik di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Axia dinaiki mangsa dan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dipandu pesara tentera berusia 40 tahun.

Katanya, ketika kejadian, pacuan empat roda dinaiki lima beranak termasuk bayi lelaki berusia dua bulan itu dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar menuju ke arah Gerik.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Axia dipandu abang mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta tersebut kemudian bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dan mengakibatkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang maut akibat kecederaan parah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, nahas itu menyebabkan abang mangsa berusia 20 tahun cedera pada kaki kanan dan pendarahan pada bahagian abdomen manakala penumpang hadapan berusia 35 tahun cedera kaki kanan dan luka di perut.

Katanya, pemandu Nissan Navara dari Felda Lui Selatan 1 bersama isteri dan dua anak berusia tiga dan lima tahun mengalami kecederaan di bahagian badan manakala bayi lelaki mereka terselamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI