fbpx

Pekerja kontrak pasang kabel maut dirempuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta Proton Wira merempuh seorang pekerja kontrak yang sedang memasang kabel TM di Kilometer 9.5 Jalan Pantai di sini, hari ini. /FOTO IHSAN POLIS.

PORT DICKSON – Seorang pekerja kontrak yang sedang memasang kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) maut dirempuh sebuah kereta Proton Wira dalam kemalangan langgar lari di Kilometer 9.5 Jalan Pantai di sini berdekatan Hospital Port Dickson tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa, Faizal Taha, 35, yang mengalami kecederaan parah dilaporkan meninggal dunia satu jam kemudian selepas dirawat di Zon Merah, Hospital Port Dickson.

“Berdasarkan siasatan, kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah Proton Wira berwarna biru dipandu secara laju dan melulu dari arah Port Dickson menghala ke Teluk Kemang.

“Pemandu Proton Wira itu kemudian telah merempuh dua papan tanda dan beberapa kon yang dipasang di lorong kanan sebelum melanggar mangsa yang sedang memasang kabel TM di lorong tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, selepas pelanggaran, pemandu kenderaan itu telah melarikan diri ke arah Bulatan Sunggala dan terus melarikan diri.

“Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Port Dickson dan disahkan meninggal dunia pada pukul 1.15 pagi setelah menerima rawatan di Zon Merah,” katanya.

Jelas Aidi Sham, susulan daripada kejadian itu, suspek lelaki berusia 31 tahun yang merupakan pemandu Proton Wira berjaya ditahan pada pukul 12 tengah hari tadi di Bandar Sunggala di sini oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

“Suspek telah dibawa ke Cawangan Trafik IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI