fbpx

Pendakwa tarik balik surat kepada hakim, pohon bicara Ahmad Zahid diutamakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. /FOTO FAIZ ALIF

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini menarik balik surat yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah agar mengutamakan perbicaraan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melebihi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob yang turut menganggotai pasukan pendakwaan kes Ahmad Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau menarik balik surat yang dihantar semalam.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan isu tersebut dianggap selesai dan memohon prosiding hari ini diteruskan dengan mendengar keterangan bela diri Ahmad Zahid.

Hakim Collin kemudian memberi maklum balas bahawa perbicaraan itu akan diteruskan mengikut tarikh yang telah ditetapkan dan tiada pihak yang boleh mengarahkan mahkamah untuk mengutamakan mana-mana kes yang sedang dibicarakan.

Abdul Malik membangkitkan perkara tersebut sebaik sahaja mahkamah bersidang bagi mendengar perbicaraan Ahmad Zahid terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Collin merupakan hakim sama yang mendengar perbicaraan kes Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya selaku Perdana Menteri dengan menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan terhadap Ahmad Zahid kini di peringkat pembelaan manakala kes Najib masih di peringkat pendakwaan.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan berpendirian, surat yang dihantar itu boleh dilihat seperti memberikan tekanan kepada mahkamah.

Surat berkenaan yang ditandatangani sendiri oleh Abdul Malik dihantar kepada Setiausaha Hakim Collin antara lain memohon kes yang kini di peringkat pembelaan diselesaikan dengan segera.

Surat itu kemudian tular di laman sosial melalui ciapan sebuah akaun Twitter yang mempersoal tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan surat itu bagi mempercepatkan perbicaraan Ahmad Zahid mengatasi kes 1MDB.

Ciapan itu kemudian diulang ciap oleh pemilik akaun Twitter lain yang antara lain menyokong perbicaraan dipercepatkan dan diberi keutamaan kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI