fbpx
APABILA anda berusaha menggandingkan semua pakaian dan aksesori trend terkini secara serentak, anda berisiko menjadi mangsa fesyen.

Bergaya seadanya, jangan jadi mangsa fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh FAIZAL HAMID

Sejak kebelakangan ini, terma mangsa fesyen agak popular dilontarkan serta diguna pakai apabila masyarakat mahu mengkritik gaya seseorang itu berpakaian.

Sememangnya terma itu adalah sesuatu yang kita mahu elakkan sama sekali daripada dikaitkan dengan penampilan diri.

Definisi terma ini selalunya berbeza-beza apabila kita merujuk kepada individu-individu berlainan.

Ia suatu yang sangat subjektif dan terpulang kepada interpretasi masing-masing.

Individu tertentu menjadi mangsa fesyen apabila terlalu mahu mencuba menjadi fashionable & trendy, sehingga sanggup membeli apa sahaja yang dicadangkan dan dianggap stylish oleh fashion authorities.

Malangnya apabila individu ini menggabungkan sendiri dan menggayakan trend-trend ini ia kelihatan agak keterlaluan serta mendapat perhatian kurang menyenangkan.

Paling penting, jangan tiru sewenangnya gaya keseluruhan yang kita lihat di televisyen dan majalah.

Selebriti dan model selalunya overdo trends untuk menarik perhatian media, dan sememangnya gaya yang kadangkala berlebihan itu tidak begitu berjaya apabila mahu digayakan dalam dunia realiti.

1. Bergaya hebat

Bukan mahal atau murah sesuatu pakaian yang menjadi aspek utama dalam penampilan seharian yang hebat, sebenarnya untuk kelihatan hebat, pakaian perlu sesuai dengan potongan badan, gaya, imej serta personaliti kita secara keseluruhan.

Ada orang yang terlalu taksub atau kuat nafsu membeli (compulsive shopper) sehingga sanggup berhutang ribuan ringgit hanya untuk tujuan tersebut sehingga menjadi mangsa fesyen.

Ingat, kunci utama penampilan nampak hebat adalah apabila kita bersederhana dalam berfesyen.

2. Perlu sesuai dengan diri

Seseorang itu boleh menjadi mangsa fesyen apabila hanya akan memakai pakaian atau aksesori trend paling terkini, tanpa mengira sama ada sesuai dengan dirinya atau tidak.

Anda membeli pakaian sealiran trend terkini, tetapi malangnya apabila memakainya kelihatan serba tidak kena.

Apabila keluar rumah, anda memakai pelbagai trend popular serentak dalam satu masa dan akhirnya kelihatan seperti mannequin atau window display bergerak.

KUNCI utama penampilan hebat ialah bersederhana dan jangan berlebih-lebih.

3. Jangan ‘terlalu mencuba’

Jangan terlebih (overdo & trying too hard) dalam berfesyen. Anda tidak perlu gayakan segala pakaian dan aksesori yang trendy dan popular dalam satu masa. Ia akan nampak amat pelik dan janggal.

Cadangan saya, tidak perlu membazir, beli hanya beberapa pakaian yang trendy pada setiap musim, kemudian suai padan dengan pakaian asas (basic items) atau apa yang ada dalam almari pakaian anda.

Sebelum bercadang untuk membeli pakaian ataupun aksesori baharu, tanya diri sendiri sama ada anda membelinya adalah kerana ia in style atau kerana anda betul-betul memerlukan dan menyukainya.

4. Bukan jenama semata

Jika anda membelinya hanya kerana logo atau jenama barangan tersebut, lupakan sahaja niat anda kerana berkemungkinan besar anda tidak akan selesa memakainya dan ini adalah cukup merugikan.

Pilihlah padanan pakaian dan aksesori yang kita fikirkan menarik, not what others believe is trendy.

5. Perlu selesa

Kita perlu sentiasa selesa dengan apa yang kita pakai serta gayakan.

Jika kita rasakan semua mata memandang sinis semasa kita menggayakan sesuatu trend pakaian atau padanan, berkemungkinan besar ia memang tidak sesuai dengan kita.

Begitu juga dengan trend warna atau rona terang, elakkan jika anda tidak biasa serta kurang selesa memakainya.

Paling penting, kita perlu jujur dengan diri sendiri.

—————————————————————————————————————————————–
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN