fbpx

Peminat ‘tergugat’ Bi Rain tayang badan atas pentas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI Bi Rain yang menanggalkan butang bajunya ketika menjayakan Konsert Betadia Night di Axiata Arena, Bukit Jalil malam Sabtu lalu menjadi perbualan hangat peminat dalam media sosial.

PETALING JAYA – Kehadiran bintang K-pop ternama, Bi Rain ke Malaysia pada malam Sabtu lalu sempena penganjuran Konsert Betadia Night anjuran syarikat insurans digital, Betadia Malaysia mencetuskan sensasi dalam media sosial.

Penyanyi itu tampil sebagai artis jemputan istimewa dalam penganjuran konsert percuma tersebut di samping dua lagi artis Cina tempatan, Andrew Tan dan Jess Lee.

Rain merupakan artis pertama membuka tirai persembahan yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil dengan menyampaikan lima buah lagu popularnya iaitu Hip Song, Gang, How To Avoid The Sun, La Song dan Rainism.

Biarpun konsert berkenaan bukanlah persembahan mega solo Rain tetapi kemunculan penyanyi itu pada minit awal meninggalkan impak paling mengujakan penonton.

Lebih membuatkan peminat teruja apabila penyanyi yang juga pelakon itu bertindak berani membuka butang baju sut yang dipakainya ketika berada di atas pentas.

Tindakannya itu sekali gus mengundang rasa tak keruan peminat yang tidak dapat menahan perasaan teruja kerana melihat penyanyi itu menayang tubuh badan kekar miliknya.

Susulan persembahan ‘panas’ penyanyi itu, peminat mula membanjiri media sosial khususnya TikTok dengan memuat naik video persembahannya termasuk adegan dia membuka butang baju.

Rata-ratanya gembira dengan kedatangan Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-hoon ke Malaysia selepas lima tahun selain memuji kekacakan penyanyi itu yang tidak dimamah usia.

Meskipun hanya menyampaikan lima buah lagu, tetapi suami kepada aktres terkenal Korea Selatan, Kim Tae-hee itu tetap menghiburkan peminatnya dengan layanan maksima.

Dia juga sempat turun pentas dan mendekati barisan penonton yang menduduki kerusi paling hadapan di dalam stadium tertutup berkenaan.

Konsert Betadia Night merupakan persembahan percuma yang dianjurkan Betadia Malaysia dengan memberi peluang kepada peminat menyertai peraduan bagi mendapatkan tiket dalam talian.

Kali terakhir Rain datang ke negara ini sekitar 2017 menerusi penganjuran Konsert K-Pop Music Wave 2017 di Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI