PETALING JAYA – Sikap suami yang berlaku curang sepanjang perkahwinan dikenal pasti antara punca seorang isteri memilih ‘jalan sama’ dengan mencari lelaki lain.
Itu situasi dihadapi seorang isteri dikenali Zila, 32, yang mengakui cukup tertekan dan terabai sehingga merasakan tidak adil bagi menjadi isteri yang setia.
Zila yang berkahwin dengan suaminya sejak tiga tahun lalu berkata, pada tahun pertama perkahwinan mereka, hubungan dengan lelaki itu sangat indah dan berjalan lancar.
“Bagaimanapun, sebaik usia perkahwinan menjengah tahun kedua, suaminya mula buat perangai dan suka melepak pada waktu malam sehingga tidak balik rumah kononnya tidur di rumah kawan.
“Lama-kelamaan, rumah tangga kami jadi ‘panas’ dan kami kerap bergaduh. Bila bergaduh, suami akan ambil peluang untuk tidak balik rumah sampai tiga hingga empat hari,” ujarnya.
Menurutnya, setiap kali tidur di rumah ‘kawan’, suaminya sukar dihubungi dan langsung tidak menjawab panggilan telefon.
“Bagaimanapun, perkara itu terbongkar apabila saya mengetahui suami sebenarnya bermalam di rumah seorang wanita yang juga bekas teman wanitanya yang kini bergelar janda anak dua,” katanya.
Mengakui tertekan dengan situasi itu, Zila akhirnya memilih untuk menjalin hubungan sulit bersama bekas rakan sekolah berstatus suami orang.
“Pada mulanya saya mahu jadikan Karim sebagai tempat berkongsi masalah, namun ia bertukar menjadi perasaan sayang dan cinta.
“Kami kerap keluar bersama seperti pasangan kekasih dan tidak dinafikan kami ada melakukan adegan romatis,” katanya.
Zila memberitahu, setakat ini suaminya dan isteri Karim belum mengetahui berkenaan hubungan terlarang mereka itu.
“Saya tak tahu apa kesudahannya, suami enggan menceraikan saya dan saya juga tidak mahu kehilangan Karim,” katanya.














