fbpx

Bayi mangsa culik semakin pulih trauma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu kanak-kanak berusia sembilan bulan (kiri) bersama anak dan suaminya ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di Taman Pauh, Bukit Mertajam di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Bayi berusia sembilan bulan yang dilarikan remaja perempuan pada Selasa lalu semakin beransur pulih biarpun kerap terjaga tidur dan menangis pada waktu malam.

Ibunya yang berusia 24 tahun berkata, anak tunggalnya itu juga mudah terkejut dan agak ketakutan menjelang senja kerana masih trauma dengan kejadian tersebut.

“Saya tidak tahu, mungkin dia (bayi) ditengking atau diherdik ketika diculik menyebabkannya mudah terkejut.

“Walau bagaimanapun, saya anggap ini sebahagian daripada ujian buat kami sekeluarga.

“Kami berasa bertuah kerana biasanya kes culik berakhir dengan tragedi, namun anak kembali kembali ke pangkuan keluarga tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di Taman Pauh, di sini hari ini.

Wanita itu memberitahu, mereka sekeluarga menyerahkan siasatan kes itu kepada pihak berkuasa dan sedia memberi kerjasama yang baik.

“Ketika ini, anak saya memang sentiasa mahu dipeluk dan enggan berenggang dengan kami. Dia seolah-olah takut akan kehilangan sekali lagi,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang remaja ditahan selepas melarikan bayi perempuan dari rumah pengasuhnya di sebuah pangsapuri di Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah pada pukul 5.30 petang, Selasa lalu.

Mangsa kemudian berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI